SANGLANG – Mayat seorang penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Polimas) yang hilang selepas mesin padi dinaikinya terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang semalam, akhirnya ditemui hari ini.
Mangsa, Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Ketua BBP Jitra, Noor Azhar Tajudin berkata, jasad pelajar terbabit dijumpai kira-kira 10 meter dari tempat mesin padi itu terhumban ke sungai yang memiliki kedalaman empat meter.
“Pencarian diperluaskan pagi ini selepas mesin padi berjaya diangkat menggunakan kren kira-kira jam 11 malam semalam.
“Pasukan PPDA kemudian melakukan selaman di dasar sungai sebelum menemui mangsa,” katanya hari ini.
Tambah beliau, operasi pencarian membabitkan seramai 41 anggota daripada bomba, polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain dibantu empat bot.
“Selepas pengecaman ahli keluarga, jasad mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Semalam, media melaporkan seorang lelaki dikhuatiri lemas manakala tiga lagi terselamat selepas mesin padi dinaiki mereka terjunam ke dalam sungai berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanglang. – MalaysiaGazette
















