Tunku Mahkota Ismail perkenan menyampaikan sumbangan kepada Walid di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU – Tabung untuk rakyat Palestin yang dilancarkan di negeri ini berjaya mengumpul RM7.5 juta sejak 2023 hingga kini.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kutipan tersebut adalah melalui beberapa program yang dijalankan dalam tempoh berkenaan.

“Antaranya Program Solidariti Bangsa Johor bersama Palestin pada November 2023 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di sini berjaya mengumpul RM2.5 juta.

“Pada Julai 2024 pula, Tabung Kasih Johor-Palestin dan kutipan juga telah berjaya mengumpul bantuan RM2.5 juta.

“Terbaharu pula Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail perkenan berangkat ke Solat Maghrib dan Solat Hajat bersama Pasukan Bola Sepak Harimau Malaysia dan Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Palestin di Masjid Sultan Abu Bakar di sini semalam,” katanya dalam kenyataan.

Bangsa Johor katanya, bersimpati dan amat terkesan dengan kezaliman, kekejaman serta pembunuhan lebih 60,000 warga Palestin yang majoritinya adalah wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

“Sebagai tanda solidariti dan kasih berterusan Bangsa Johor, Syukur Alhamdulillah, Tabung Kasih Johor-Palestin telah berjaya mengumpul RM2.5 juta.

“Bantuan ini akan disalurkan bagi tujuan membantu saudara-saudara kita yang sedang berjuang di sana. Tunku Mahkota Ismail juga telah membuat sumbangan peribadi bagi tujuan yang sama.

“Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang dan seluruh Bangsa Johor yang menjayakan usaha ini.

“Sama-samalah kita doakan juga agar rakyat Palestin terutamanya di Gaza akan dilindungi dan dirahmati Allah SWT. Semoga mereka memperolehi kemenangan dunia dan akhirat,” katanya.

Sumbangan tersebut di masjid tersebut disampaikan kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.

Baginda turut berkesempatan bergambar bersama-sama skuad kebangsaan negara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast