JOHOR BAHRU – Seorang lelaki akhirnya menghembuskan nafas terakhir hari ini selepas 18 hari bertarung nyawa akibat terlibat kemalangan di Plaza Tol Kempas, di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian berlaku pukul 4.26 petang pada 22 Ogos lalu semasa lelaki itu menunggang motosikal.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku semasa mangsa yang berusia 58 tahun menunggang motosikal jenis Yamaha Tracer 9GT dari Senai menuju Johor Bahru.
“Motosikal tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batu konkrit di sebelah laluan motosikal Plaza Tol Kempas hala selatan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, penunggang terbabit mengalami kecederaan dalaman dan dirawat sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Menurutnya, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu agar menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Zulhisyam Aziz 019-7432966.- MalaysiaGazette
















