JOHOR BAHRU – Seramai 43 warga tempatan dan asing yang sedang leka dengan aktiviti judi laga ayam dicekup polis dalam operasi di daerah ini dan Kota Tinggi dekat sini semalam.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, serbuan antara pukul 12.35 tengah malam hingga 4 petang dilakukan di Kampung Melayu Pandan di sini dan Felda Bukit Aping Barat, Kota Tinggi.
Beliau memberitahu, serbuan tersebut adalah hasil risikan dan maklumat awam mengenai penganjuran aktiviti perjudian hujung minggu.
“Seramai 28 warga tempatan dan 15 warga asing berusia 21 hingga 71 tahun ditahan termasuk seorang pengajur tempatan, seorang penganjur warga asing dan seorang pembantunya,” katanya dalam kenyataan.
Turut dirampas 22 ekor ayam hidup, 12 ayam mati, sangkar besi, peralatan sabung ayam, pisau taji, penimbang serta wang tunai berjumlah RM22,489.
Ab Rahaman berkata, kumpulan itu memilih kawasan pedalaman untuk mengelak dikesan pihak berkuasa selain hanya membenarkan pelanggan dikenali dan dijemput sahaja hadir ke lokasi.
“Setiap sesi pelagaan ayam berlangsung kira-kira 20 minit dengan lima hingga 10 pertaruhan dijalankan. Jumlah pertaruhan pula antara RM550 hingga RM2,000 dan pengajur mengambil komisen 10 peratus daripada nilai wang pertaruhan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 32(1)(a) dan Seksyen 32(2)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Polis Johor memandang serius kegiatan perjudian haram terutama yang melibatkan kekejaman terhadap haiwan. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap penganjur, pemain mahu pun penyokong,” katanya.
Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti perjudian haram menerusi talian hotline Polis Johor di 019-2792095 atau Bilik Gerakan di 07-2212999.- MalaysiaGazette
















