MELAKA – Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengekalkan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal Perdana Menteri Ke- 11 adalah langkah paling tepat dan mencerminkan kesatuan dalam parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, gandingan Muhyiddin bersama Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin serta Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merupakan kombinasi terbaik.
“Gandingan ini akan memberi kekuatan luar biasa besar kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam menumbangkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini.
“Pemilihan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri dari Bersatu adalah resolusi terbaik sepanjang Perhimpunan Agung Tahunan kali ini sekali gus mencerminkan penyatuan di kalangan semua ahli parti Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tegasnya, sebarang tindakan provokasi atau percubaan menentang ketetapan parti hanya akan merugikan perjuangan.
“Saya juga anggap ia hanyalah isu dalaman yang kecil dan rakyat tetap bersama Bersatu serta PN kerana sudah hilang kenyakinan dengan Anwar dalam mentadbir negara.
“Tindakan melawan arus mesti dijauhi kerana ia hanya melemahkan parti sebaliknya kita perlulah kekal bersatu bersama presiden parti ini untuk menuju kejayaan,” tambahnya lagi.
Dr Aleef turut mengingatkan keputusan mengekalkan Muhyiddin sebagai presiden dan calon Perdana Menteri telah dipersetujui sebulat suara dan perlu dihormati semua pihak.
“Kata sepakat ini mencerminkan penyatuan Bersatu, justeru saya menyeru semua pihak agar sentiasa kekal mendukung kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















