PERMATANG PAUH – Keluarga Allahyarham Muhammad Amsyar Muqri Masri, penuntut Politeknik Sultan Abdul Halim (Polimas) yang maut selepas terjatuh bersama mesin padi ke dalam sungai di Kampung Sanglang, Kedah akan menerima bantuan kewangan dan khidmat psikologi daripada Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah berkata, pihak pengurusan Polimas sudah menghubungi ahli keluarga mangsa bagi menyalurkan bantuan segera.
Menurutnya, apa sahaja kes membabitkan pelajar yang ditimpa tragedi sentiasa menjadi keutamaan pihaknya dengan penekanan terhadap kebajikan dan sokongan moral keluarga.
“Dalam tragedi Allahyarham Muhammad Amsyar, difahamkan pihak Polimas sudah pun berhubung dengan keluarga mangsa dan akan bersama mereka bagi memastikan apa jua bantuan sama ada kewangan ataupun psikologi dapat diberikan.
“Kita sememangnya sentiasa memberikan bantu semampu boleh apabila berlaku sesuatu tragedi seperti ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Politeknik Seberang Perai (PSP) 2025 di Dewan Seri Mutiara di sini hari ini.
Media semalam melaporkan seorang penuntut Polimas yang hilang selepas mesin padi dinaikinya terjatuh ke dalam sungai di Kampung Sanglang semalam, akhirnya ditemui.
Mangsa, Muhammad Amsyar Muqri Masri, 18, ditemui kira-kira jam 10 pagi oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, tidak jauh dari lokasi kejadian.
Ketua BBP Jitra, Noor Azhar Tajudin berkata, jasad pelajar terbabit dijumpai kira-kira 10 meter dari tempat mesin padi itu terhumban ke sungai yang memiliki kedalaman empat meter. – MalaysiaGazette
















