SEGAMAT – Kemudahan Pit Stop Rider untuk penghantar makanan sedang dibina di daerah ini dengan kos RM650,000.
Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, kemudahan tersebut bagi menunaikan janji yang dibuatnya semasa menjadi calon Parlimen itu dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Pembangunan ‘Pit Stop’ ini sudah pun bermula sejak Jun lalu. Insya-Allah, bulan depan dijangka siap sepenuhnya.
“Terima kasih kepada Majlis Perbandaran Segamat (MPS) selaku agensi pelaksana kerana menjayakannya,” katanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Taklimat Pit-Stop Rider dan Pecah Tanah di Sungai Kapeh, di sini, semalam.
Dalam kempen PRU-15, menerusi manifesto dan rapat umum dengan 100 penghantar makanan ketika itu, Dr Zaliha berjanji menyediakan kemudahan tersebut untuk mereka di daerah ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini mereka menyuarakan permohonan tentang ketiadaan tempat untuk berhenti berehat sementara menunggu pesanan masuk.
“Jadi, dalam manifesto ketika itu, saya janji untuk wujudkan satu pit stop ala-ala R&R untuk mereka di kawasan Sungai Kapeh berdekatan dengan jambatan kedua Segamat di Jalan Laksamana.
“Bagi merealisasikanya manifesto ini saya angkat permohonan ini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama MPS.
“Alhamdulillah KPKT luluskan peruntukan berjumlah RM650,000 bagi membina pit stop ini,” katanya.- MalaysiaGazette
















