Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali (tengah) bersama sebahagian ahli GISBH selepas hadir pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 23 DISEMBER 2024. (Gambar fail MG).

 

KAJANG – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 30 Oktober bagi keputusan representasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) Nasiruddin Mohd. Ali dan 21 individu berhubung pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Hakim Datuk Seri Latifah Mohd. Tahar menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Norinna Bahadun
memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) memerlukan masa untuk meneliti representasi tersebut.

Semasa prosiding di Kompleks Penjara Kajang di sini, peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili tertuduh-tertuduh bersetuju dengan tarikh baharu yang ditetapkan bagi status representasi tersebut.

Sejurus selepas prosiding, Rosli ketika ditemui wakil media memberitahu, representasi yang dikemukakan adalah untuk AGC mengkaji semula pertuduhan termasuk seksyen yang memperuntukkan hukuman yang lebih rendah.

Sebelum ini, Nasiruddin serta 12 lagi pemohon tidak dibenarkan diikat jamin oleh Mahkamah Tinggi atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Kesemua 12 pemohon itu selain Nasiruddin ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohammad Adib At-Tarmizi Asa’ari, 33, Mohd. Shukri Mohd. Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd. Fazil Md Jasin, 58, Mohd. Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35, dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Dengan keputusan itu, kesemua 13 lelaki tersebut kekal ditahan di penjara hingga perbicaraan hingga kes selesai.

Sementara, sembilan tertuduh wanita termasuk isteri Nasiruddin didakwa atas pertuduhan sama, dibenarkan diikat jamin.

Mereka ialah isteri CEO GISBH, Azura Md Yusof, 58, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly ,45, Mahani Kasim, 55, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29, Nur Jannah Omar, 33, Siti Salmiah Ismail, 58 dan Hamimah Yakub, 73.

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, mereka didapati menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di sebuah tempat di Jalan Desa, di Bandar Country Homes, Rawang dekat sini antara Oktober 2020 dan 11 September 2024.

Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast