Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki

PUTRAJAYA – Wang tunai berjumlah RM170 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai milik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini menjadi hak kerajaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, perkara itu diputuskan selepas Ismail Sabri tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai berkenaan.

“Pihak responden juga tidak mencabar permohonan SPRM untuk pelucuthakan sejumlah wang kira-kira RM170 juta dan ini bermakna secara rasmi wang ini adalah menjadi hak milik kerajaan.

“Proses memasukkän wang ini dimulakan hari ini dan dalam tempoh terdekat akan masuk ke dalam akaun kerajaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Katanya, setakat ini  timbalan pendakwa raya (TPR) belum membuat sebarang keputusan untuk menuduh mana-mana pihak berkaitan kes aset perisytiharan Ismail Sabri.

Menurutnya, siasatan telah selesai dan pihaknya menyerahkan kepada TPR menentukan tindakan lanjut.

Semalam, Mahkamah Sesyen diberitahu Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus tidak berhasrat untuk mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM169 juta yang disita SPRM.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mahadi Abdul Jumaat, memaklumkan perkara itu semasa prosiding sebutan kes di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mahadi berkata, kedua-dua responden (Ismail Sabri dan Mohammad Anuar) melalui peguam mereka telah menghantar surat bertarikh 28 Ogos lalu kepada mahkamah bagi menyatakan pendirian terbabit.

“Pihak kami memohon supaya satu warta pihak ketiga di bawah Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009 dikeluarkan untuk permohonan ini dan kami akan cuba untuk menyegerakan proses tersebut,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mewartakan notis kepada pihak ketiga yang berkepentingan terhadap wang berkenaan dan menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Pada 7 Julai lalu, SPRM memohon melucuthak wang tunai lebih RM169 juta dalam pelbagai mata wang asing yang disimpan Mohammad Anuar dan didakwa milik Ismail Sabri untuk diserahkan kepada kerajaan.

Turut disita dalam siasatan sama ialah wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta 16 kilogram jongkong emas dianggarkan bernilai RM7 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast