PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuat pemulihan wang kira-kira RM12 juta dipercayai mempunyai kaitan siasatan syarikat penyedia penyelesaian minyak dan gas Sapura Energy Berhad.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan timbalan pendakwa raya (TPR) untuk membuat pemulihan wang berkenaan.
“Tindakan pemulihan ini turut dipersetujui pihak peguam dan wang berkenaan akan dilucuthak serta dikembalikan kepada kerajaan dalam masa terdekat.
“Selain itu, pihak timbalan pendakwa raya juga akan mempertimbangkan sama ada terdapat pertuduhan atau tidak terhadap mana-mana pihak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Tambah beliau, terdapat dua kes disiasat SPRM membabitkan Sapura Energy Berhad pada 2018, manakala satu lagi kes berkaitan aset di luar negara masih berjalan.
Pada Mac lalu, SPRM membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan pembayaran rasuah dan penyelewengan melibatkan Sapura Energy.
Siasatan tersebut dijalankan berdasarkan hasil maklumat awal pada penghujung 2023 berkaitan beberapa tuntutan syarikat terbabit.
SPRM memaklumkan, kedua-dua kertas siasatan dibuka bagi meneliti dakwaan pengubahan wang haram serta penyelewengan sekitar tahun 2018.
Sehingga hari ini, seramai 15 saksi telah dirakam keterangan namun tiada sebarang tangkapan dibuat sepanjang tempoh siasatan. – MalaysiaGazette

















Terbaik.