Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong bercakap pada sidang media mengenai isu pengambilan pelajar ke Universiti Awam di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto MALAYSIAGAZETTE, 10 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoalkan kenyataan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) baru-baru ini bahawa Universiti Malaya (UM) menyediakan 85 tempat untuk program perakaunan.

Katanya, hasil semakan laman rasmi universiti itu, jumlah yang dipetik jabatan itu tidak sama dengan graduan yang direkodkan setiap tahun iaitu lebih 100.

“Kenapa data daripada JPT yang mengawal selia semua universiti kata jumlah itu (85 tempat disediakan) padahal (rekod) jelas menunjukkan graduan lebih besar (banyak)?

“Siapa yang tidak cakap jujur? Atau di mana simpannya tempat laluan yang menghasilkan graduan (dengan jumlah yang besar itu)?

“Jangan terperangkap, kita tidakkah sepandai mereka pun tapi tidaklah bodoh sangat… Siapa yang tentukan 85 (tempat)? Arahan menteri? Naib canselor? ” soalnya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Ka Siong mendakwa penjelasan JPT tidak menjawab pertikaian yang dibangkitkannya.

Sebagai rekod, JPT menerusi kenyataan semalam berkata, kemasukan pelajar ke Universiti Awam (UA) dilaksanakan  berlandaskan prinsip meritokrasi tanpa sebarang kompromi.

Katanya, sebanyak 78,863 calon lepasan matrikulasi, Sijil Tinggi Pelajaran (STPM), Asasi, STAM, diploma dan setaraf berjaya mendapat tawaran mengikuti program Ijazah Sarjana Muda daripada 109,866 yang layak memohon melalui sistem UPUOnline.

Menurut jabatan itu lagi, proses pemilihan turut bergantung kepada markah merit, syarat am serta khas program pengajian, perakuan temuduga atau ujian jika diperlukan, kekosongan tempat dan keutamaan pilihan pemohon.

JPT turut memberi jaminan semua pelajar STPM termasuk Edward Wong yang membuat aduan kepada Ka Siong tidak mendapat tawaran setimpal.

Sebelum ini, Edward yang berasal dari Pulau Pinang dilaporkan kecewa kerana tidak mendapat tempat melalui sistem UPU ke mana-mana universiti awam bagi jurusan perakaunan meskipun memperoleh pencapaian akademik tertinggi meskipun memperoleh keputusan penuh 4.0 CGPA, markah kokurikulum 9.9/10 serta merit keseluruhan 99.90 peratus.

Bagaimanapun JPT berkata, calon tersebut sebenarnya telah berjaya mendapat tempat dalam program Sarjana Muda Pengurusan Dengan Kepujian di sebuah universiti penyelidikan terkemuka iaitu pilihan kelima beliau sendiri.

Walaupun calon itu memperoleh PNGK 4.00 dan merit 99.90 peratus, kedudukannya dalam permohonan program perakaunan berada di luar kapasiti yang ditawarkan universiti-universiti utama.

Mengulas lanjut, Ka Siong turut mempersoakan pra-tawaran yang diterima Edward 45 hari sebelum keputusan daripada UPU.

Menurut Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, surat tawaran daripada UM  menyatakan Edward layak memasuki universiti tersebut sekiranya mampu yuran penuh sebanyak RM83,800.

“Apa yang JPT sebut ini (kenyataan adalah) secara umum sahaja tetapi scara spesifik sebut tempat UM (85). Apa sudah jadi dengan UA kita. Adakah kita hanya pentingkan wang ringgit?” soalnya lagi.

Dalam masa yang sama, beliau menepis dakwaan dirinya bersuara mempertikaikan isu berkenaan kerana unsur perkauman.

Sebaliknya Ka Siong menjelaskan, beliau akan tetap bersuara untuk rakyat dan hak mereka tanpa mengira kaum.

“Senarai nama ada, kita bukan cakap kosong, kita semak. Jangan cakap kita auta, (sebab) ada parti politik serang kita. Mana-mana anak Malaysia (yang) mengalami kekusutan sebegini, saya akan berdiri untuk pertahankan, saya tidak pilih bulu, saya tidak pilih kaum,” tegasnya.

Meskipun bersedia untuk menawarkan biasiswa kepada Edward untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) namun keputusan pelajar itu yang ingin memasuki UA perlu dihormati.

“Dia boleh masuk UTAR tapi kita perlu tahu apa yang dia mahu, dia pun sedar tentang haknya yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang melayakkan ia memasuki UA,” katanya lagi.

Sementara itu, Ka Siong membidas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kerana menggesanya membuat permohonan maaf kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Sebaliknya, Presiden MCA itu menyarankan Dr Akmal membuat semakan data secara terperinci dan membuat perbandingan dengan kenyataan JPT sebelum menyerangnya.

“Saya tidak buat apa-apa salah, kenapa saya perlu minta maaf? Kenapa Akmal nak serbu (serang) saya? Saya bukan serang dia saya hanya nyatakan satu kes ini. Ini bukan sebab orang Cina, (kalau libatkan) kaum lain saya tetap berdiri dan pertahankan keadilan. Saya tidak akan berganjak.

“Semaklah dulu, tengok apa yang berlaku kalau dia (Akmal) tidak ada data saya boleh hantarkan kepadanya,” ujarnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast