Low Taek Jho atau lebih dikenali dengan panggilan Jho Low.
Low Taek Jho atau Jho Low

KUALA LUMPUR – Kerajaan dengan kerjasama Commercial Affairs Department (CAD) Singapura berjaya memulihkan aset berjumlah RM39.1 juta (USD 8.57 juta) berkaitan Low Taek Jho (Jho Low) dan ahli keluarganya ke Akaun Amanah Pemulihan Aset 1MDB.

Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pemulihan aset itu merupakan hasil usaha penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang dilaksanakan oleh Department of Justice (DOJ) Amerika Syarikat.

“Selain itu, akaun-akaun lain milik ahli keluarga Jho Low juga dijadualkan untuk dipulangkan dalam masa terdekat,” katanya suruhanjaya itu menerusi kenyataan.

Jelasnya, perkembangan terbaharu berkenaan termasuk penyelesaian sebanyak USD 330 juta (RM1.4 bilion) dengan JPMorgan Chase & Co. baru-baru ini, menjadikan jumlah keseluruhan aset yang berjaya dikembalikan kepada Malaysia berkaitan kes 1MDB kini mencecah RM31.19 bilion.

SPRM berkata,  kejayaan berkenaan mencerminkan usaha berterusan kerajaan melalui Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (Multi-Agency Task Force) yang diketuai SPRM selain kerjasama Jabatan Peguam Negara (JPN), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

“Usaha ini turut diperkukuh dengan kerjasama erat pihak berkuasa antarabangsa, khususnya dari United Kingdom, Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Perancis, di bawah kerangka perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA),” tambahnya.

Sebagai rekod, 26 Jun tahun lalu, DOJ Amerika Syarikat mengumumkan penyelesaian global pelucuthakan sivil ke atas Jho Low yang membawa kepada pemulihan aset melebihi USD 100 juta.

Secara keseluruhan, pihak berkuasa Amerika Syarikat telah memperoleh lebih USD 1.5 bilion berkaitan Jho Low, sebahagian besarnya dikembalikan kepada Malaysia.– MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast