BUTTERWORTH – Mahkamah Sesyen di sini hari ini tidak merekodkan sebarang pengakuan daripada seorang lelaki yang didakwa atas pertuduhan mendatangkan kecederaan parah terhadap ibunya pada Ahad lalu.
Keputusan itu diputuskan Hakim Nor Azah Kasran selepas tertuduh, Afzar Rizal Adnan, 47, memaklumkan dia tidak memahami pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, pengawal keselamatan itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap ibunya berusia 72 tahun dengan menggunakan sebilah pisau dan sebatang kunci di ruang tamu rumah mereka di Flat Rumah Hijau Mak Mandin di sini, pukul 12.30 tengah hari pada 7 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut meminta mahkamah menghantarnya ke Hospital Bahagia untuk rawatan mental selain mendakwa pengawai penyiasat kes tidak tahu sejarah kesihatan mentalnya.
“Saya mohon kes ini dibuang, saya tak faham guna pisau dan kunci. Saya juga mohon puan hakim hantar saya ke Hospital Bahagia untuk rawatan kerana setiap lima bulan saya jumpa pakar tapi pegawai penyiasat tidak tahu tahap kesihatan saya,” katanya dalam prosiding tersebut.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed memohon tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama sebulan bagi pemeriksaan psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun permohonan itu ditarik semula selepas pegawai penyiasat kes, Sarjan Syuhaikha Hamid memberi keterangan kepada mahkamah bahawa tertuduh memberi kerjasama penuh sepanjang siasatan serta memaklumkan lelaki itu memberitahu doktor mengesahkan dia tidak mempunyai sebarang masalah psikiatri.
“Sepanjang siasatan tertuduh memberikan kerjasama kepada pegawai penyiasat dan pihak pendakwa percaya tertuduh faham pertuduhan namun mengingkari atau menafikan untuk membuat pengakuan.
“Justeru saya menarik semula permohonan untuk merujuk tertuduh ke Hospital Bahagia dan saya juga mohon mahkamah tiada menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan terhadap lelaki ini.
“Saya mohon mahkamah mempertimbangkan mangsa dalam kes ini adalah ibu kandung tertuduh selain mereka tinggal serumah, sekaligus menimbulkan risiko tertuduh boleh mendekati saksi sekiranya jaminan dibenarkan,” katanya.
Mahkamah kemudian memutuskan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh serta menerima permohonan pihak pendakwaan agar tertuduh tidak dihantar ke hospital bahagian.
Kes ditetapkan pada 8 Oktober depan untuk sebutan semula serta mendapatkan laporan perubatan.
ARTIKEL BERKAITAN:
MalaysiaGazette Isnin lalu melaporkan seorang lelaki direman selepas bertindak menyerang ibunya yang baru pulang dari kelas Dhuha.
Mangsa dikatakan mengalami kecederaan teruk sehingga memerlukan jahitan akibat diserang menggunakan objek tajam selain suspek cuba mencungkil mata warga emas itu.
Mangsa berjaya diselamatkan jiran sebelum dihantar ke hospital manakala tertuduh ditahan polis tidak lama selepas kejadian dan didapati positif dadah. – MalaysiaGazette
















