KUALA LUMPUR – Malaysia berhasrat muncul sebagai peneraju pembangunan bandar pintar rantau ASEAN dengan menekankan piawaian antarabangsa sebagai penanda aras utama.
Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Datuk Dr Alias Rameli berkata, peluang yang terhasil daripada perkembangan teknologi, ekonomi dan sosial di bawah rangkaian bandar pintar ASEAN perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh Malaysia.
“Dalam konteks bandar pintar, kita tidak ada pilihan. Teknologi adalah pemacu utama dalam menyelesaikan cabaran perbandaran sama ada banjir kilat, kesesakan lalu lintas, pengurusan sisa atau isu kebersihan.
“Jika bergantung secara manual, ia akan menjadi sukar,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui selepas merasmikan Bicara Pakar Bandar Pintar, bersempena Mesyuarat Tahunan Ke-8 Rangkaian Bandar Pintar ASEAN (ASCN8) di sini hari ini.

Menurut Alias, pengisian ASCN8 bukan sekadar mesyuarat khas membabitkan 10 negara anggota ASEAN malah Malaysia turut menganjurkan Bicara Pakar Bandar Pintar serta Pameran Hubungan Bandar Pintar yang menarik kehadiran ribuan peserta sepanjang dua hari penganjuran.
“Kita mahu membuka ruang kepada pelbagai akses berkaitan dengan penyelesaian pintar. Ada inovasi baharu dalam Malaysia sendiri, malah di negara jiran yang lebih maju seperti Singapura. Kita boleh belajar dan sesuaikan untuk kegunaan bandar-bandar kita,” ujarnya.
Alias menjelaskan, piawaian MS ISO amat penting kerana ia menyediakan indikator jelas dalam menilai keberkesanan pelaksanaan bandar pintar di rantau ini.
“Ini adalah kad laporan bandar pintar. Data dan piawaian yang konsisten bukan sahaja membantu perbandaran, tetapi juga menarik keyakinan pelabur. Malaysia ada kelebihan ini dan kita yakin negara-negara ASEAN lain juga boleh menggunakannya,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan, agenda bandar pintar tidak boleh hanya dilihat dari sudut teknologi atau kos tinggi kerana banyak penyelesaian boleh dilakukan menerusi model kerjasama awam-swasta (PPP).
“Contoh mudah ialah sistem parkir pintar. Ia tidak memerlukan dana tambahan daripada kerajaan tempatan.
“Bangunan boleh dibangunkan oleh pelabur swasta, diuruskan secara konsesi dan akhirnya menyelesaikan masalah parkir bandar dengan baik. Ini adalah situasi menang-menang antara kerajaan dan pelabur,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata mengikut data, aplikasi digital serta kecerdasan buatan (AI) mesti dimanfaatkan untuk membantu pihak berkuasa membuat unjuran dan persediaan terhadap cabaran bandar, termasuk perubahan cuaca dan iklim.
“Kalau kita tunggu masalah selesai secara fizikal semata-mata, ia tidak mencukupi. Data sangat penting untuk kita buat jangkaan awal terhadap isu bandar yang berlaku,” ujarnya.
Beliau mengakui masih ada bandar-bandar tempatan yang bergerak perlahan ke arah bandar pintar, namun perkara itu katanya adalah sebahagian daripada proses pembelajaran yang sedang dikuatkan melalui perkongsian serantau.
“Daripada 156 pihak berkuasa tempatan (PBT), masing-masing ada lonjakan tersendiri. Tetapi akhirnya, perancangan mesti lebih bersepadu supaya bandar kita berdaya tahan terhadap cabaran semasa,” katanya.
Alias menegaskan, pembangunan bandar pintar perlu dilihat sebagai agenda jangka panjang yang memberi kesan berganda kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Melalui bandar pintar, kita dapat meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan, mengurangkan kos, malah meringankan beban kewangan kerajaan dalam jangka panjang. Yang paling penting, rakyat merasai manfaatnya,” tegas beliau. -MalaysiaGazette
















