KUANTAN – Pergerakan Pemuda UMNO Pahang memandang serius kenyataan Presiden MCA berhubung isu kemasukan pelajar ke universiti awam.
Ketua penerangannya, Mustaqim Zakaria berkata, Datuk Seri Wee Ka Siong menonjolkan isu itu hanya melalui satu kes individu jelas berunsur mengelirukan yang dilihat cuba meraih simpati masyarakat tanpa memahami gambaran sebenar di lapangan.
“Perlu ditegaskan, proses kemasukan melalui UPU adalah sangat ketat dan berasaskan meritokrasi. Setiap tahun ribuan pelajar cemerlang bersaing untuk merebut tempat di kursus-kursus berprestij seperti peraakaunan, undang-undang dan perubatan.
“Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga telah menegaskan bahawa proses kemasukan melalui UPU Online kekal telus, sistematik dan berasaskan meritokrasi tanpa campur tangan luar.
“Prinsip ini bukan sahaja menjamin peluang adil untuk semua pelajar tanpa mengira latar belakang, malah memperkukuh integriti sistem pendidikan tinggi negara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Mustaqim, keputusan akademik yang tinggi semata-mata tidak menjamin laluan mudah kerana kapasiti fakulti adalah terhad dan turut tertakluk kepada piawaian badan profesional serta keperluan tenaga kerja negara.
Pergerakan Pemuda UMNO Pahang percaya sistem tersebut boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.
Namun, ia tidak wajar dipolitikkan atau dipersembahkan secara terpilih seolah-olah seluruh mekanisme kemasukan universiti kita gagal.
“Tawaran ‘saluran terbuka’ yang dijadikan modal politik sebenarnya adalah mekanisme sedia ada universiti untuk memberi ruang tambahan kepada pelajar berkelayakan dengan perbezaan hanya pada kadar yuran.
“Jika benar niat MCA adalah memperjuangkan pendidikan sepatutnya tumpuan diberi kepada usaha menambah biasiswa, memperluas subsidi atau mengemukakan cadangan dasar yang lebih konstruktif bukannya mengambil kesempatan atas isu seorang pelajar lalu dijaja kepada media semata-mata untuk populariti politik,” tambahnya.
Pemuda UMNO Pahang tetap konsisten bahawa pendidikan tinggi mesti berpaksikan prinsip keadilan, meritokrasi dan akses saksama kepada semua anak bangsa.
Sistem itu wajar ditambah baik dengan pendekatan menyeluruh, bukannya dengan permainan persepsi politik sempit yang hanya merosakkan keyakinan rakyat terhadap institusi pendidikan negara. – MalaysiaGazette
















