BALIK PULAU – Polis mengesahkan tiada kesan kecederaan fizikal atau lebam ditemui pada dua beradik kembar lelaki berusia lapan tahun yang didakwa diabaikan ibu tiri mereka di sebuah pangsapuri di sini, seperti tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya telah mengesan hantaran yang dibuat seorang wanita yang juga ibu kandung kanak-kanak tersebut di Facebook berkenaan isu pengabaian.
Susulan itu pihak polis melakukan siasatan termasuk merakamkan keterangan semua pihak yang dikaitkan dalam insiden tersebut.
“Hasil pemeriksaan fizikal mendapati tiada kesan lebam atau kecederaan pada tubuh mangsa dan hasil keterangan kedua-dua mangsa memaklumkan mereka tidur di luar kerana dimarahi selepas bermain api dengan membakar kertas di dalam rumah.
“Selain itu, isu mata ditutup semasa makan juga disebabkan mangsa tidak mahu makan sayur, membuatkan ibu tiri mereka berusia 39 tahun menutup mata agar mereka makan sayur-sayuran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, pihaknya juga telah merakamkan keterangan ibu kandung mangsa selepas wanita itu tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.
“Kedua-dua kanak-kanak telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanju dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
JKM, polis siasat kes ibu tiri biar kembar lelaki tidur di kaki lima
MalaysiaGazette semalam melaporkan seorang ibu menuntut keadilan buat dua anak kembarnya selepas mendakwa mereka dilayan buruk oleh ibu tiri dalam kejadian di sebuah flat di negeri ini.
Wana Talia mendakwa, anak kembar berusia lapan tahun itu dipaksa tidur di kaki lima rumah atas alasan ‘buas’ selain disuruh menutup mata ketika makan serta menghabiskan semua makanan kerana tidak memakan sayur.
Susulan itu, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim mengesahkan siasatan dijalankan oleh polis mengikut bidang kuasa mereka, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menyiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). – MalaysiaGazette
















