KUALA LUMPUR – Isu pelajar cemerlang yang terpaksa meminta bantuan ahli politik kerana gagal mendapat tempat dalam kursus pilihan menunjukkan berlaku masalah besar dalam sistem pendidikan.
Ketua Penerangan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wendy Subramaniam berkata, jika pelajar rasa lebih mudah membuat rayuan kepada ahli politik berbanding saluran rasmi, persoalan yang perlu ditanya ialah, siapa sebenarnya yang gagal?
“Ini jelas menunjukkan sistem kita tidak berkesan, tidak telus atau sudah tidak dipercayai lagi.
“Paling sedih, ini bukan kali pertama berlaku. Setiap tahun perkara sama berulang,” katanya dalam kenyataan mengulas aduan mengenai terdapat pelajar lepasan diploma setaraf dengan PNGK 3.99 tidak mendapat tempat di universiti awam.
Menurut Wendy, ahli politik sepatutnya membantu menyelesaikan masalah rakyat bukan sekadar menjadi tempat mengadu apabila sistem pendidikan gagal berfungsi.
Beliau menegaskan, kerajaan perlu mengutamakan rakyat dalam membuat dasar pendidikan.
Katanya, universiti awam seperti Universiti Malaya tidak patut hanya mengejar nama peringkat antarabangsa atau keuntungan semata-mata.
“Universiti perlu kekal sebagai tempat untuk membangunkan bakat anak-anak Malaysia, berasaskan merit dan peluang yang adil,” ujarnya.
Wendy turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi agar menjalankan audit bebas terhadap sistem pemilihan pelajar UPU.
“Rakyat berhak tahu sama ada proses ini benar-benar adil dan telus. Jika ada kelemahan, KPT dan UPU perlu perbaikinya,” katanya. – MalaysiaGazette
















