KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran membuat pendirian jelas sama ada mahu mempertahankan prinsip atau mengutamakan politik dalam isu Palestin.
Pengerusi Urimai, P. Ramasamy berkata, Anwar tidak seharusnya menjemput Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk melawat Malaysia sekiranya benar mahu dianggap sebagai pejuang utama Palestin.
“Trump langsung tidak mempunyai keprihatinan terhadap perjuangan Palestin, apatah lagi untuk membentuk sebuah tanah air daripada wilayah-wilayah yang diduduki.
“Lebih-lebih lagi, Trump mahu menjadikan Gaza sebagai projek hartanah dengan pengusiran rakyat Palestin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar Selasa lalu mengesahkan Trump dan Perdana Menteri China, Li Qiang akan melawat Malaysia bulan depan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Dalam pada itu, Ramasamy berkata, Anwar sering bercakap panjang lebar mengenai perjuangan Palestin, namun tindakannya menjemput Trump jelas bercanggah dengan kenyataan yang dibuat.
“Anwar yang sering bercakap panjang lebar mengenai perjuangan Palestin, tidak boleh pada masa yang sama menjemput Trump dan berpura-pura bahawa hak-hak Palestin tidak boleh dirundingkan,” katanya.
Ramasamy turut menegaskan, kehadiran Trump ke Malaysia hanya akan membuka ruang kepada dunia melihat sikap tidak konsisten Perdana Menteri terhadap isu yang menjadi perhatian umat Islam.
“Jika Trump menjejakkan kaki di Malaysia, kemunafikan Anwar dalam isu Palestin akan terdedah. Jika ini berlaku, Anwar tidak akan mempunyai pilihan selain meletakkan jawatan sebagai perdana menteri negara,” ujarnya.
Beliau mengingatkan isu Palestin bukan sesuatu yang boleh dipermainkan demi kepentingan politik atau hubungan diplomatik dengan kuasa besar dunia.
“Anwar seharusnya tidak mempermainkan isu Palestin demi kepentingan politik,” tegas Ramasamy.
Sebelum ini, Anwar dilapor menyampaikan jemputan rasmi kepada Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS dan Sidang Kemuncak Asia Timur yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober.
Jemputan itu disampaikan melalui Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang melakukan kunjungan hormat ke atas Anwar di Bangunan Parlimen pada 10 Julai lalu. – MalaysiaGazette
















