Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar

SHAH ALAM – Siasatan kes kehilangan barangan berharga  sebuah inap desa di Kajang dekat sini baru-baru ini belum selesai.

Dalam masa yang sama, Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya masih menyiasat sekiranya terdapat pelanggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa serbuan di inap desa itu dilakukan.

“(Kes) Masih dalam siasatan, beberapa keterangan telah diambil tapi masih belum selesai,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Terdahulu, katanya, jumlah pegawai dan anggota IPD Kajang yang disiasat dalam kes tersebut tidak boleh didedahkan.

Menurut Shazeli, sehingga kini pegawai dan anggota yang disiasat masih berkhidmat namun tugasan mereka dihadkan.

Sebelum ini dilaporkan, sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Kajang yang terlibat dalam serbuan di sebuah premis inap desa Kajang baru-baru ini ditahan bagi membantu siasatan.

Ia susulan laporan yang dibuat seorang penyewa inap desa berkenaan yang mendakwa kehilangan barangan bernilai ratusan ribu ringgit selepas satu serbuan dilakukan di banglo tersebut.

Dalam perkembangan berasingan, Shazeli ketika sidang media yang sama mengesahkan masih belum menerima arahan lanjut daripada pihak pendakwaan negeri mengenai kes pelajar tingkatan tiga jatuh dari bangunan asrama di sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam baru-baru ini.

Sebagai rekod, polis telah merakam keterangan lebih 12 individu termasuk pelajar, guru dan warden asrama selain memperoleh beberapa petunjuk penting bagi membantu merungkai punca sebenar kejadian.

Pada 24 Ogos lalu, seorang pelajar lelaki dilapor parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah menengah di Sabak Bernam.

Mangsa, 15, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh (HSB) selepas dipindahkan dari Hospital Sabak Bernam.

Mangsa masih dirawat di unit rawatan Rapi dan keadaannya dilaporkan semakin stabil dan menunjukkan tindak balas positif.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast