ALOR GAJAH – Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran maut tercampak selepas motosikal ditunggangnya berembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Parit Melana, Durian Tunggal, di sini semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.20 pagi itu, Norhisyamudin Mohamad Zailan, 19, disahkan maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari Pekan Durian Tunggal menghala ke Panchor, manakala pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 60 tahun pula dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati sebaik tiba di lokasi nahas, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang tidak sempat mengelak.
“Rempuhan mengakibatkan mangsa yang tidak bekerja tercampak ke bahu jalan dan disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala pemandu pacuan empat roda turut dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut.
“Siasatan masih diteruskan dan polis memohon kerjasama saksi kejadian untuk tampil untuk memberi maklumat kes yang disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – MalaysiaGazette
















