Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa. Foto FAREEZ FADZIL, 12 SEPTEMBER 2025.

PUTRAJAYA – Aktivis, Rafidah Ibrahim yang juga penduduk Kampung Sungai Baru tidak sepatutnya mengeluarkan perkataan yang tidak wajar menyamakan keadaan di negara ini seperti di Nepal dan Indonesia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa turut mempersoalkan tindakan bekas pelakon dan penyanyi wanita itu yang turut mengajak masyarakat lain terutama orang Melayu untuk berdemonstrasi.

Tegas beliau, sesuatu isu itu sebenarnya boleh diselesaikan secara baik dan aman di negara ini.

“Kenapa kita nak negara kita ini tidak aman? Kenapa kita tak boleh laksanakan atau pun selesaikan perkara ini dengan baik? Kita nak ajak pula orang-orang lain atau pun Melayu untuk keluarkan demonstrasi sehingga menyebabkan ketidakamanan. Bagi saya tidak wajar.

“Kenapa kita nak sehingga negara kita jadi macam itu? Kita ini bersusah payah nak memastikan keamanan negara kita tetapi masih ada juga pihak-pihak yang macam itu. Jadi kita kena tolaklah hal-hal yang macam ini.

“Saya yakin ramai di antara kita ini, nak supaya kita hidup dalam keadaan yang aman, yang damai. Bukan sahaja di kawasan kita, di kampung kita, bahkan juga negara kita.

“Jadi saya memang orang kata tak bersetujulah perkara-perkara macam ini terus dijadikan sebagai satu isu dan ditunggang sehingga negara kita menjadi tidak aman,” katanya pada sidang media di kementerian di sini hari ini.

Dr Zaliha diminta mengulas kekecohan berlaku semasa operasi pengosongan kediaman di Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur semalam yang menyebabkan video yang membuat ugutan kepada kerajaan.

Antaranya video yang memaparkan tindakan pihak berkuasa menjalankan tugas memecahkan pintu dan mengeluarkan semua barangan di dalam rumah Rafidah yang sejak dulu lantang bersuara dan mempertahankan tapak perumahan di Kampung Sungai Baru.

Menerusi video itu, Rafidah dlihat menangis dan meraung serta menyifatkan tindakan itu seperti tidak berhati perut.

Sementara itu, kekecohan yang berlaku itu menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala gara-gara terkena batu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tiga lelaki ditahan untuk siasatan kes kekecohan itu dan Sulizmie kemudian menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast