KUALA LUMPUR – Pelancaran laluan terus baharu Batik Air dari Seoul ke Kota Kinabalu dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan Sabah yang telah merekodkan lebih 192,000 ketibaan pelancong Korea Selatan pada tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy berkata, laluan ini bukan sahaja memendekkan masa perjalanan malah membuka lebih banyak peluang kerjasama pelancongan dan perniagaan antara kedua-dua destinasi.
“Korea Selatan adalah antara pasaran terpenting bagi Sabah. Dengan sambungan terus ini, kami yakin lebih ramai pelancong akan memilih Kota Kinabalu sebagai pintu masuk untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya negeri ini,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau menambah, perkhidmatan tiga kali seminggu ini seiring dengan persiapan negara menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 di mana Sabah dijangka menjadi antara tarikan utama pelancong asing.
Sambutan penerbangan sulung itu diwarnai dengan adat hospitaliti Sabah termasuk kalungan manik kepada penumpang serta persembahan kebudayaan tempatan yang memeriahkan suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) hari ini.
Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Christina Liew yang teruja dengan laluan ini menyifatkan ia sebagai satu suntikan semangat baharu kepada industri pelancongan negeri.
“Dengan penambahan ini, jumlah penerbangan mingguan Seoul–Kota Kinabalu meningkat kepada 28. Ini bukti permintaan tinggi dari pasaran Korea Selatan dan keyakinan syarikat penerbangan terhadap potensi besar Sabah,” ujarnya.
Batik Air yakin laluan terus ini akan merangsang ekonomi setempat melalui peningkatan kadar penginapan hotel, perbelanjaan pelancong, serta permintaan terhadap pelbagai aktiviti pelancongan dan kebudayaan. -MalaysiaGazette
















