Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya

ALOR SETAR – Gabungan longgar pembangkang yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melibatkan hubungan politik secara formal dengan Perikatan Nasional (PN) khususnya Parti Islam SeMalaysia (Pas).

Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, walaupun ia diketuai pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun Pas tidak terikat dengan mana-mana pihak terbabit.

“Itu bukan satu ikatan (politik) atau kerjasama yang tetap, ia lebih bersifat menangani isu-isu semasa itu sahaja. Pertemuan baru-baru ini berkaitan kos sara hidup rakyat.

“Kalau perkara berkait isu umum, isu rakyat, saya ingat kita bagi ruang untuk terlibat sama, beri pandangan tak jadi masalah,” katanya kepada pemberita selepas penangguhan Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat ke-64, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin berkata, parti-parti pembangkang akan membentuk satu gabungan untuk ‘mencari salah kerajaan’ dan memperjuangkan isu rakyat, termasuk janji reformasi didakwa gagal ditunaikan Perdana Menteri.

Gabungan itu melibatkan Bersatu, PAS, Gerakan, Pejuang, MUDA, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Putra, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Parti Kemajuan Malaysia (MAP), Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan Urimai.

Menurut Ahmad, bagaimanapun Pas tiada halangan untuk bekerjasama selagi mana ia tidak mengganggu parti Islam itu dan kerjasama politiknya dalam PN.

“Kalau ada orang kritik kata Pas gadai prinsip bila kerjasama (dengan P. Waytha Moorthy dan Presiden Urimai, P Ramasamy), saya kira itu hanya naratif lawan sahaja.

“Kita pun ada naratif kita sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast