Ab Rauf Yusoh

ALOR GAJAH – Kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang sedia ada terhadap mana-mana pihak yang menggunakan tanah kerajaan tanpa kelulusan pihak berkuasa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, isu kependudukan tidak terancang mereka di kawasan rizab pantai Tanjung Bidara terutamanya untuk tujuan komersial boleh menjejaskan keselamatan pelancong dan orang awam.

“Pagi ini, saya juga berpeluang meninjau sendiri isu kependudukan tidak terancang oleh pengusaha-pengusaha tempat peranginan seperti chalet, homestay yang didirikan di atas tanah simpanan sepanjang pesisir pantai Tanjung Bidara.

“Kerajaan negeri memandang serius isu ini, di mana sebarang pembinaan di atas tanah rizab tanpa kebenaran, lebih-lebih lagi untuk tujuan komersial adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Menurut Ab Rauf, kerajaan negeri mengutamakan aspek keselamatan awam, bagi mengelakkan berlakunya insiden yang boleh mengancam keselamatan pelancong dan pengunjung sekiranya hakisan berlaku.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (ADUN) Tanjung Bidara berkata demikian pada sidang media selepas meninjau projek kawalan hakisan pantai di Tanjung Bidara, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap pembangunan di atas tanah kerajaan perlu melalui prosedur yang betul dengan mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa negeri mengikut garis panduan ditetapkan.

“Tujuannya bukanlah untuk menyulitkan mana-mana pihak, tetapi demi kepentingan rakyat, keselamatan awam serta kelestarian negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

“Kerjasama komuniti setempat juga diperlukan untuk bersama-sama memastikan pesisir pantai Melaka kekal indah, selamat dan lestari agar terus menjadi kebanggaan rakyat serta tarikan pelancong,” katanya.

Dalam lawatan itu, Ab Rauf turut meninjau kemajuan Projek Pengawalan Hakisan Pantai Pengkalan Balak yang menelan kos RM21.56 juta dan dijangka siap pada Januari 2027

Beliau turut meninjau Projek Menaiktaraf Benteng Pantai Tanjung Bidara bernilai RM2.29 juta yang dijangka siap September tahun depan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast