Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mendakwa menerima emel yang memeras ugut sebanyak AS$100,000 (kira-kira RM420,000) sekiranya tidak mahu ‘video lucah’ kononnya membabitkan dirinya disebarkan, semalam.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, emel tangkap layar itu turut disertakan kod QR bagi pemindahan wang daripada individu tidak dikenali.

“Dia bagi screenshot video itu siap nampak seperti seorang lelaki di katil bilik dan setting (tetapan) kabur macam video yang pernah ada dahulu, cuma nampak eh muka saya ada di situ.

“Lawaknya, setengah jam kemudian saya menerima mesej daripada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut diugut dengan video lucah yang serupa dan kongsi screenshot.

“Rupanya, kami dituduh tidur dengan lelaki yang sama,  pejabat beliau lagi garang daripada saya kerana terus membuat laporan polis,” katanya menerusia media sosial hari ini.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, beliau tidak menyangka ada pihak sanggup membelanjakan jutaan ringgit bagi menghasilkan video berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi menfitnah dirinya.

Rafizi juga percaya, video itu adalah bahan lama yang disunting semula bagi tujuan menggodam  peranti elektronik miliknya dan membuat fitnah lebih besar.

“Sebenarnya saya selalu berhadapan cubaan menggodam telefon, laptop (komputer riba) dan macam-macam lagi namun cubaan paling berbahaya ialah menggunakan firma antarabangsa.

“Selain cuba menggodam iPhone serta akaun Apple saya, cuma ciri keselamaan ciri keselamatan iPhone ini lebih baik dan bila ada cubaan, maka Apple akan terus beri arahan untuk menutup telefon serta peranti lain yang berkaitan,” jelasnya.

Rafizi percaya cubaan untuk memfitnahnya dengan video dan berita palsu serta menggodam akan berterusan.

“Kalau dapat video atau gambar pelik mengenai saya, atau emel pelik dari saya, semaklah dulu,” ujarnya.

Menurut Rafizi, ramai yang ingat senang hendak menjadi ahli politik tetapi kalau kita cuba ada pendirian sendiri, membongkar rasuah atau cuba melawan vested interest (kepentingan peribadi) yang bermaharajalela, sebenarnya kehidupan harian akan terus diganggu.

Bagaimanapun beliau tidak mengulas lanjut mengenai kenyataan berkenaan.

Beliau mendakwa telah empat kali menjadi mangsa sasaran penggodam bagi tempoh sembilan bulan. 

Pada Ogos lalu, media melaporkan Rafizi mendakwa, isterinya menerima dua mesej ugutan sehari selepas anak lelaki mereka diserang dua lelaki menggunakan picagari.

Kemudian pada 13 Ogos, anak lelakinya berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat membeli-belah di Putrajaya sekitar jam 2 petang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast