PETALING JAYA – Exco Kedah, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah, merupakan antara wakil rakyat terawal yang membangkitkan isu pengambilan pelajar di universiti awam, di mana pelajar tempatan terpaksa bersaing dengan pelajar antarabangsa.
Bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mendedahkan bahawa di lima universiti penyelidikan utama, jumlah pelajar antarabangsa mencecah 21.3 peratus.
Angka itu jauh lebih tinggi berbanding peratusan pelajar tempatan kaum Cina, yang hanya berada di antara 13 hingga 13.5 peratus.
Lima universiti yang dimaksudkan ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Mengulas lanjut, Haim Hilman berkata, data daripada MyMohe pada 2024 menunjukkan daripada 611,798 jumlah pelajar di 20 institusi pengajian tinggi awam, sebanyak 53,322 atau 8.72 peratus adalah pelajar asing.
Namun, beliau menekankan bahawa 21.3 peratus pelajar antarabangsa itu tertumpu di lima universiti terkemuka.
Haim Hilman, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Industri & Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi & Inovasi Kedah, menganggap nisbah pelajar antarabangsa yang mencecah 21 peratus, malah lebih tinggi daripada peratusan pelajar kaum Cina, adalah tidak adil bagi pelajar tempatan.
“Saya boleh menerima jika angkanya lima peratus kerana ia membantu interaksi rentas budaya, tetapi apabila ia mencecah 21 peratus, ia adalah tidak adil. Kita seharusnya mengutamakan rakyat sendiri,” katanya kepada Sinchew Daily.
Beliau menegaskan bahawa pandangannya bukan hanya dari sudut kaum Melayu, tetapi demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun kaum Cina mewakili 20 peratus populasi Malaysia, mereka hanya menerima 13 peratus tempat di universiti awam.
Haim Hilman menegaskan, peluang pendidikan yang ada sepatutnya milik orang Malaysia, bukan orang asing.
“Tempat pengajian ini disediakan oleh kerajaan dan dibiayai melalui cukai rakyat, jadi ia patut menjadi hak milik rakyat Malaysia.”
Tambahnya, lima universiti awam terkemuka tersebut menerima peruntukan besar daripada kerajaan, dan pensyarah mereka diberi pembiayaan untuk melanjutkan pelajaran di universiti ternama dunia seperti Harvard, Yale, dan Cambridge.
Beliau menekankan, universiti-universiti awam sepatutnya mendidik generasi Malaysia yang cemerlang, tetapi yang mendapat manfaatnya sekarang adalah pelajar antarabangsa.
Justeru, beliau mencadangkan agar kerajaan menilai semula pengagihan tempat pengajian di universiti awam bagi memastikan pendidikan negara mengutamakan rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum.
Haim Hilman turut mempersoalkan alasan pengambilan pelajar antarabangsa untuk meningkatkan kedudukan universiti dalam ranking dunia.
“Matlamat universiti awam adalah mendidik anak-anak Malaysia dan bukannya mengejar ranking,” tegasnya.

















Pandai laaa ko putar belit… peratus tu kau campur dgn pelajar Ijazah lanjutan termasuk PhD.. padahal kalau kira pelajar Ijazah Sarjana Muda tak sampai 5 peratus pun international students! Utk Ijazah tinggi tak ada subsidi dan pengambilan terbuka. Malahan masa ko jd VC UUM pun kau siap bangga lagi jumlah pelajar antarabangsa di UUM melebihi 20%… kalau dah otak tu politaik.. semua isu ko nak tunggang dan belit yer… perangai buruk!