ALOR SETAR – Laungan “Justice for Zara Qairina” bergema di Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, hari ini di mana hampir majoriti perwakilan yang hadir memegang plakad sambil bersorak menuntut keadilan kepada pelajar tingkatan satu itu.
Isu remaja 13 tahun itu yang dibawa pembahas dari Sabah, Sahar Abdul Majid yang menyatakan solidariti terhadap allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Tambahnya, tragedi tersebut juga berjaya menyatupadukan rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan bangsa.
“Zara Qairina adalah satu isu simbolik perpaduan orang-orang di Sabah, bahkan di seluruh Malaysia.
“Bagaimana rakyat Sabah boleh bangkit untuk menyatakan solidariti terhadap keadilan yang harus diberikan kepada Zara Qairina ini,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, di sini, hari ini.

Menurut Sahar, kebangkitan rakyat Sabah menunjukkan negeri itu memerlukan sebuah kerajaan yang prihatin dan memperjuangan keadilan untuk semua tanpa mengira agama, agama dan bangsa.
“Saya mohon para perwakilan untuk mengangkat plakad ini sebagai tanda sokongan kita dalam menegakkan keadilan bukan sahaja kepada Zara Qairina tetapi apa-apa isu yang berkaitan.
“Kerana inilah simbolik perpaduan yang dimiliki oleh kita semua Insya-Allah.
“Ketika ini tidak kira Melayu, Islam, Kristian, Cina, India, Murud, Kadazan, semua berdiri merayu supaya diberikan keadilan yang sebaiknya kepada Zara Qairina,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















