ALOR SETAR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Dominic Lau terus menjadi sasaran rasa tidak puas hati perwakilan negeri itu pada Muktamar Pas Pusat kali ke-71 yang sedang berlangsung ketika ini.
Pada sesi perbahasan ucapan dasar Presiden Pas hari ini, perwakilan Pulau Pinang, Muhammad Hafis Alias mendakwa, Dominic langsung tidak mengambil peduli terhadap 11 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu.
“Kami nak mengadu hal kepada ayahanda kepimpinan dan semua. PN di Pulau Pinang pengerusinya ialah Presiden Gerakan, tetapi dia tak ambil peduli langsung tentang ADUN Pulau Pinang baik Pas atau Bersatu,” katanya.
Semalam, perwakilan Dewan Ulama Pas Pulau Pinang, Shafirul Rozani membidas Dominic yang juga Presiden Gerakan kerana didakwa gagal memimpin PN negeri itu.
Shafirul berkata, gabungan itu perlu bekerja dan dilihat berfungsi sebagai sebuah parti politik di Pulau Pinang, namun Dominic dilihat tidak mampu mengemudi gabungan pembangkang negeri tersebut.
Sementara itu, Muhammad Hafis turut menyifatkan Gerakan sebagai parti yang tidak ‘gentleman’ apabila mensasarkan bertanding di kerusi majoriti Melayu Islam seperti DUN Bayan Lepas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Malah, beliau turut menyifatkan PRU-15 sebagai titik hitam kepada parti itu apabila DUN Bayan lepas terlepas ke tangan Gerakan.
“Mereka tak `gentleman’ macam calon dari Dewan Himpunan Pendukung Pas (DHPP) yang bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menggesa pucuk pimpinan Pas dan Perikatan Nasional (PN) mengembalikan semula kerusi Bayan Lepas kepada calon Melayu dan Islam.
Apatah lagi, ujarnya, jentera Pas di DUN Bayan Lepas juga disifatkan sangat kuat dan pernah tewas di kerusi itu hanya dengan majoriti 300 undi sebelum ini.
“Ini bukan isu peribadi, ini isu berkaitan wakil Melayu Islam di tempat Melayu Islam.
“Kita harap pimpinan ambil soal isu DUN Bayan Lepas, kita harap semua 15 DUN di Pulau Pinang (majoriti Melayu dan Islam) ditangani Melayu Islam sendiri.
“Mana mungkin orang bukan Melayu memimpin Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette
















