MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengarahkan pemaju menurap semula Jalan Alai Perdana di sini yang rosak dan menghentikan segera kerja-kerja mengangkut tanah sehingga turapan selesai.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, laluan di kawasan itu juga telah diarahkan tutup sehingga pihak terbabit mematuhi arahan berkenaan demi keselamatan pengguna.
Tegasnya, MBMB memandang serius aduan kerosakan jalan ini yang tular di TikTok kelmarin berpunca daripada aktiviti kenderaan berat yang melaksanakan projek di kawasan tersebut dan pemaju hendaklah bertanggungjawab sepenuhnya.
“Bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan, jalan ini perlu ditutup sehingga pemaju melaksanakan kerja turapan semula malah kerja-kerja mengangkut juga telah dihentikan serta-merta sehingga turapan selesai.
“Barrier sementara turut dipasang bagi memastikan penduduk taman dan orang awam masih boleh menggunakan laluan alternatif dengan lebih selamat,” katanya di sini hari ini.

Shadan (kiri) meninjau kesan kerosakan Jalan Alai Perdana, Alai, Melaka yang rosak teruk berpunca daripada aktiviti kenderaan berat bagi melaksanakan projek di kawasan tersebut
Menurutnya, terdapat projek menaik taraf benteng penahan ombak di Crystal Bay di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka serta projek perumahan.
“MBMB menyokong penuh usaha pembangunan untuk manfaat jangka panjang rakyat, namun itu tidak boleh dijadikan alasan bagi pemaju untuk lepas tangan.
“Walaupun kerja-kerja ini penting untuk keselesaan penduduk, tanggungjawab menjaga keselamatan juga perlulah menjadi keutamaan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemaju jika ianya berulang,” katanya. – MalaysiaGazette
















