Penduduk di sekitar Paya Luboh, Tangga Batu gempar apabila kelibat seekor buaya dipercayai sepanjang 1.5 meter muncul di sungai tepi sawah, Paya Luboh, Tangga Batu, Melaka, tengah hari tadi.

MELAKA – Penduduk di sekitar Paya Luboh, Tangga Batu gempar apabila kelibat seekor buaya dipercayai sepanjang 1.5 meter muncul di sungai tepi sawah, Paya Lubuh, Tangga Batu di sini tengah hari tadi.

Kehadiran reptilia itu mula disedari kira-kira jam 12 tengah hari oleh sekumpulan pemancing yang sedang menangkap ikan di tebing sungai berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, beliau bergegas ke lokasi sebaik menerima aduan orang kampung mengenai kehadiran buaya berukuran antara empat hingga lima kaki itu.

Tuminah (tengah) turun padang meninjau aduan kemunculan kelibat seekor buaya dipercayai sepanjang 1.5 meter muncul di sungai tepi sawah, Paya Lubuh, Tangga Batu, Melaka tengah hari tadi.

 

“Buaya berukuran panjang kira-kira 1.5 meter ini dilihat berada di tebing sungai kecil di Paya Luboh yang mana ia mungkin berada di situ kerana banjir kilat dan air pasang baru-baru ini.

“Sungai kecil di sepanjang kawasan sawah padi ini menjadi tumpuan anak-anak mandi dan aktiviti memancing, justeru saya telah menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Tuminah berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu turut hadir melakukan pemantauan sebelum kes diserahkan kepada Perhilitan.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka Petra Sulai berkata, beliau sudah menghantar kakitangannya untuk mengesan reptilia itu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast