ALOR SETAR – Pas perlu mempertimbangkan untuk menamakan tokoh ilmuannya, Datuk Dr Aliakbar Gulasan sebagai calon Ketua Menteri dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) di Sabah.
Perwakilan Pas Shah Alam, Mohamed Sukri Omar berkata, sudah tiba masanya Perikatan Nasional (PN) memberi laluan kepada Aliakbar untuk mengemudi kemenangan gagasan itu di Sabah.
“Pas Shah Alam mencadangkan pada PRN Sabah akan datang PN mesti mempertimbangkan calon Ketua Menteri daripada Pas.
“Kita cadangkan Datuk Dr Ali Akhbar Gulasan, tokoh illmuan, pemimpin yang berintegriti untuk mengemudi kemenangan di Sabah.
“Bermula dengan kebangkitan Sabah, Sarawak, negeri-negeri sehingga akhirnya pilihan raya akan datang, Insya-Allah kita menguasai Putrajaya,” katanya berbahas Usul Pemerkasaan PN dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, di sini, hari ini.
Sukri yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam berkata, Pas merupakan parti yang paling stabil dalam PN .
“Ia dizahirkan dalam proses pemilihan dan pertandingan yang berlaku dalam parti menerusi dewan-dewan pemilihan pas pusat yang mengekalkan teraju utama kepimpinan parti.
“Kemampuan untuk mentadbir negara dinilai dengan kekuatan mentadbir parti sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















