KUALA LUMPUR – Polis menahan lima lelaki berusia 31 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan kes seorang pengawal keselamatan yang maut selepas diserang dengan senjata tajam di Semenyih, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pemeriksaan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod jenayah dan dadah, manakala mangsa berusia 37 tahun pulamempunyai tujuh rekod jenayah lampau.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan seorang pemandu lori tempatan berusia 37 tahun ketika mereka sedang minum bersama beberapa rakan.
“Pertengkaran itu kemudian berlanjutan hingga menyebabkan insiden pergaduhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kira-kira jam 4.30 pagi, pemandu lori bersama beberapa rakannya kembali ke tempat tinggal mangsa di deretan rumah kedai Semenyih sebelum seorang daripada mereka menyerang pengawal keselamatan berkenaan dengan senjata tajam.
“Mangsa cedera parah di bahagian tangan dan badan sebelum dibawa ke hospital, namun disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu, bedah siasat sedang berjalan,” katanya.
Beberapa barang dirampas untuk membantu siasatan, dan permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang awam yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Asisten Superintendan Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette
















