TEMERLOH – Empat lelaki termasuk dalang utama sindiket curi kabel tembaga Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dikenali Geng Musang diburu polis.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya telah menahan lapan suspek berkaitan enam kes kecurian kabel di sekitar laluan ECRL di negeri itu yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM825,000.
Beliau berkata, tangkapan dibuat dalam beberapa siri serbuan di tiga daerah iaitu Kuantan, Temerloh dan Bentong membabitkan lima lelaki berbangsa India dan tiga lelaki Melayu berusia 29 tahun hingga 45 tahun.
“Daripada lapan suspek yang ditangkap, enam adalah suspek yang terlibat secara langsung mencuri kabel ECRL dan dua orang adalah pembeli.
“Polis juga berjaya merampas lima buah guni dan satu gulung kabel tembaga keseluruhan anggaran berat hampir 1 tan membabitkan kabel tembaga sepanjang hampir 5 kilometer (km),” katanya dalam sidang media di Balai Polis Lanchang, dekat sini, hari ini.

Menurut Yahaya, hasil risikan dan soal soasat yang dijalankan ke atas lapan suspek tersebut, pihaknya telah mengenalpasti dua kumpulan penjenayah iaitu ‘Geng Musang’ dan ‘Geng Jep Gambang’ yang melakukan kes curi kabel ECRL Ogos lalu hingga 13 September lepas.
Katanya, tujuh ahli kumpulan Geng Musang berjaya diberkas, manakala tiga termasuk ketuanya yang dikenali sebagai ‘Musang’ yang merupakan warganegara Kemboja masih bebas.
“Satu lagi kumpulan dikenali sebagai ‘Geng Jep Gambang’ yang terlibat dengan dua kes kecurian kabel di sekitar Kuantan dengan ketuanya telah diberkas, manakala seorang lagi suspek masih diburu.
Beliau berkata, kesemua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan mereka disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 431A Kanun Keseksaa dan Seksye 411 Kanun KEseksaan.

Ditanya mengenai modus operandi sindiket curi kabel itu, Yahaya menjelaskan, kabel sokongan ECRL itu mempunyai pemberat yang mudah untuk dipotong.
Setelah diperoleh, kabel berkenaan katanya, akan dipotong-potong kepada beberapa bahagian dan dijual kepada pembeli barangan terpakai dengan harga antara RM25 hingga RM39 sekilogram.
“Dulu, kejadian curi kabel ini di bahagian bawah. Tapi, sekarang kabel ni kebanyakannya dalam tiang yang mudah untuk dipotong.
“Kejadian yang berlaku kebiasaannya di kawasan lebih terpencil. Saya dimaklumkan pihak ECRL sudah melantik pengawal keselamatan dan kita akan lihat bagaimana kawalan dan persediaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Yahaya memberi amaran kepada pembeli barangan terpakai agar tidak terbabit dan berhati-hati terutama dalam membeli barangan tembaga.
Menurutnya, lesen perniagaan pembeli boleh ditamatkan sekiranya terbabit dengan jenayah yang merugikan negara ini.
“Pembeli boleh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun keseksaan kerana membeli dan menjual barang curi. Jika memiliki barang curi, boleh dipenjara sehingga lima tahun mengikut Seksyen 411 KK,” katanya. – MalaysiaGazette
















