Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail menunjukkan barang rampasan pada media berkenaan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman di Dewan Pengaman Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 17 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah bernilai RM598.9 juta menerusi serbuan Operasi Pine (Op Pine) pada 10 September lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, serbuan berasingan dilakukan di kawasan Taman Perindustrian, Kepong, Perindustrian Kepong Industries Park dan Kawasan Dataran Templer menemui dadah jenis MDMA dengan berat keseluruhan 3,586.45 kilogram (kg).

Ujar beliau, dalam operasi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menahan empat lelaki warga tempatan berusian antara 34 hingga 51 tahun yang masing-masing berperanan sebagai koordinator, ahli kimia, pembantu dan pengangkut bekalan dadah.

Jelasnya, serbuan pertama membawa kepada tangkapan tiga suspek dan seorang lagi ditahan pada serbuan terakhir.

“Serbuan pertama polis menemui 136 tong bersama satu bekas plastik berisi cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat sebanyak 3,330 kilogram (kg), 563 botol kaca berisi cecair bahan kimia dengan anggaran berat sebanyak 1,200 kg, lapan tong dan enam plastik berisi serbuk disyaki bahan kimia 213.7 kg dan pelbagai peralatan memproses dadah.

“Serbuan kedua polis menemui dua bungkus plastik dan satu tong plastik berisi serbuk/ketulan disyaki dadah MDMA dengan anggaran berat sebanyak 25.3 kg, satu bekas plastik dan 10 tong plastik berisi cecair disyaki dadah jenis MDMA dengan anggaran berat sebanyak 231.15 kg,” katanya pada sidang media di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (Pulapol), di sini, hari ini.

Menurut Mohd Khalid, pada serbuan kedua itu, polis turut menemui 41 tong plastik dan dua botol kaca berisi cecair disyaki bahan kimia dengan anggaran berat sebanyak 947.35 kg, satu bekas plastik dan dua bungkus plastik berisi serbuk disyaki bahan kimia dengan anggaran berat sebanyak 52.4 kg selain pelbagai peralatan memproses dadah.

Jelas beliau, bagi serbuan ketiga, polis menahan seorang lelaki, namun tiada dadah dirampas,

Tambah beliau, sindiket tersebut menyewa premis di kawasan perindustrian untuk dijadikan lokasi makmal memproses dadah sebelum bahan tersebut diedarkan.

“Kita dapat maklumat sindiket yang mula beroperasi sejak Julai tahun ini ada kaitan dengan rantaian luar negara, kita percaya dadah yang diproses dieksport di negara jiran terutama Indonesia dan Australia,” ujarnya.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambah beliau, tindakan penguatkuasaan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Terdahulu Mohd Khalid berkata, jumlah keseluruhan sitaan harta mencecah RM336,224.00, meliputi lima buah kereta pelbagai jenis; wang tunai sebanyak RM2,000; sebentuk cincin dan beberapa syiling berwarna keemasan.

Sementara itu beliau, reman semua suspek sejak 11 September lalu hingga hari ini, disambung seminggu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast