Bendera Kesatuan Eropah (EU)

BRUSSELS – Suruhanjaya Eropah, badan eksekutif utama Kesatuan Eropah (EU) membentangkan cadangan yang sudah lama tertangguh untuk menggantung beberapa peruntukan berkaitan perdagangan dalam Perjanjian Perkongsian antara EU dan Israel sebagai respons terhadap perang Israel di Gaza.

Namun, sekatan tersebut pada masa ini belum mendapat sokongan mencukupi daripada 27 negara anggota EU untuk diluluskan.

Cadangan yang diumumkan pada Rabu itu juga termasuk saranan sekatan ke atas menteri-menteri Israel yang dianggap “ekstremis”, peneroka ganas serta ke atas Hamas.

Ketua dasar luar EU, Kaja Kallas, menggesa negara anggota meningkatkan tarif terhadap beberapa barangan Israel.

Mereka juga digesa mengenakan sekatan ke atas 10 pemimpin Hamas, peneroka Israel serta dua anggota sayap kanan Kabinet Perdana Menteri Benjamin Netanyahu iaitu Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir dan Menteri Kewangan Bezalel Smotrich.

Suruhanjaya itu juga berkata ia akan menggantung sokongan dua hala kepada Israel kecuali bantuan kepada masyarakat sivil dan Yad Vashem, Pusat Peringatan Holocaust Sedunia.

“Cadangan ini dibuat selepas semakan terhadap pematuhan Israel dengan Artikel 2 Perjanjian, yang mendapati tindakan kerajaan Israel melanggar elemen penting berkaitan penghormatan terhadap hak asasi manusia dan prinsip demokrasi.

“Ini membolehkan EU menggantung Perjanjian itu secara unilateral,” kata suruhanjaya tersebut.

“Secara khusus, pelanggaran ini merujuk kepada situasi kemanusiaan yang semakin merosot di Gaza susulan campur tangan ketenteraan Israel.

“Ini termasuk sekatan terhadap bantuan kemanusiaan, peningkatan operasi ketenteraan dan keputusan pihak berkuasa Israel untuk meneruskan rancangan penempatan di kawasan dikenali sebagai E1 di Tebing Barat, yang seterusnya menjejaskan penyelesaian dua negara,” tambahnya.

Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen berkata: “Peristiwa mengerikan yang berlaku di Gaza setiap hari mesti dihentikan. Gencatan senjata segera diperlukan, akses tanpa sekatan bagi semua bantuan kemanusiaan dan pembebasan semua tebusan yang ditahan Hamas.”

“Selaras dengan komitmen berprinsip ini dan mengambil kira perkembangan serius terbaru di Tebing Barat, kami mencadangkan untuk menggantung konsesi perdagangan dengan Israel, mengenakan sekatan ke atas menteri ekstremis dan peneroka ganas, serta menangguhkan sokongan dua hala kepada Israel tanpa menjejaskan usaha kami dengan masyarakat sivil Israel atau Yad Vashem,” tambah von der Leyen.

Akhir bulan lalu, menteri-menteri luar EU berdebat di Copenhagen, Denmark mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap perang Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza serta tindakan keras di Tebing Barat yang diduduki, ketika ketua bantuan blok itu menggesa mereka supaya “mencari suara tegas yang mencerminkan nilai dan prinsip kita”.

Semakin ramai penunjuk perasaan turun ke jalan di seluruh Eropah dalam beberapa bulan kebelakangan ini menuntut tindakan kerajaan mereka untuk menekan Israel agar menamatkan perang di Gaza, yang menurut satu siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Selasa, merupakan satu genosid.

Namun, setakat ini EU masih gagal mencapai kata sepakat untuk mengambil tindakan bersama menekan Israel menghentikan pengeboman dan sekatan di Gaza.

Beberapa negara anggota seperti Sepanyol dan Ireland telah menyeru sekatan ekonomi serta embargo senjata terhadap Israel, manakala yang lain, termasuk Jerman dan Hungary, menolak usaha mengenakan sekatan terhadap kerajaan Israel. -AGENSI

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast