MELAKA – Mahkamah Tinggi Melaka hari ini membenarkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mendapat injunksi inter-parte (secara dua belah pihak) berhubung kes saman fitnah difailkan terhadap bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Pesuruhjaya Kehakiman, Isa Aziz Ibrahim membenarkan injunksi itu untuk menghalang Mohamad Ali yang juga Timbalan Ketua Penerangan Bersatu daripada mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Ab. Rauf.
Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf selaku plaintif diwakili peguam, Datuk Wan Azmir Wan Majid manakala Mohamad Ali sebagai defendan pula diwakili Muhammad Rafique Rashid Ali.
Mahkamah turut menetapkan 23 sehingga 26 Februari 2026 sebagai tarikh perbicaraan kes saman berkenaan.
Isa Aziz dalam penghakimannya memberi alasan ringkas membenarkan permohonan secara inter-parte berdasarkan fakta keseimbangan memihak kepada plaintif sebagai Ketua Menteri Melaka yang terpaksa berdepan dakwaan yang belum ditentusahkan.
Katanya, tuntutan plaintif juga adalah remeh dan tidak menyusahkan selain dalam perkara itu, ganti rugi adalah tidak memadai selain ia isu serius untuk dibicarakan.
Sementara itu, Wan Azmir berkata injunksi berkenaan dibenarkan lanjutan daripada injunksi ex-parte yang diperoleh sebelum ini bagi membolehkan semua hantaran ‘berniat jahat’ yang dibuat oleh pihak defendan diturunkan.
Berdasarkan notis permohonan, defendan dikehendaki untuk memadam kesemua kenyataan, video, gambar serta sebarang penyiaran yang dirujuk secara kolektif sebagai “Penerbitan Fitnah” yang disiarkan di akaun TikTok di bawah nama @cikguali71 serta merta.
Dalam pada itu, Rafique berkata, anak guamnya bukan sahaja bersedia untuk memberi keterangan pada perbicaraan nanti sebaliknya pihaknya percaya saksi terlibat juga akan membuktikan tiada sebarang unsur fitnah dibuat. – MalaysiaGazette
















