SHAH ALAM –  Tiada definisi secara spesifik mengenai buli dalam perundangan sedia ada termasuk di bawah Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia antara aspek penting untuk dibincangkan dalam sesi TownHall AntiBuli dianjurkan kementeriannya.

Selain itu menurutnya, pelaksanaan hukuman yang bersesuaian juga antara perkara penting perlu diperhalusi sebelum kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) penubuhan Tribunal AntiBuli dibentang di Parlimen.

“Sebab itu (gubal) buat undang-undang tidak boleh syok sendiri, kadang-kasang ahli politik di Parlimen cakap macam-macam tapi yang nak guna, rasai undang-undang adalah rakyat. Sebab itu kerajaan Madani nak dengar pandangan.

“Sebenarnya dalam Kanun Keseksaan, ada beberapa situasi yang menggambarkan elemen buli tapi definisi teknikal itu tidak diwujudkan. Ada negara definisikan buli (sebagai) suatu pergerakan yang berulang, jadi perlukah kita ada definisi buli itu, ia dibincangkan dalam TownHall ini,” katanya ketika berucap di TownHall AntiBuli: #GenerasiTanpaBuli Peringkat Negeri Selangor.

Turut hadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Azalina berkata TownHall AntiBuli perlu diselesaikan menjelang penghujung bulan ini sebelum RUU Tribunal Antibuli dibentangkan di Parlimen, Disember nanti.

Mengulas lanjut katanya, definisi buli adalah antara yang menjadi tumpuan perbincangan townhall tersebut, setakat ini.

Selain itu tambah Azalina, ada juga yang berpandangan supaya Tribunal Antibuli turut melibatkan hukuman terhadap pelaku buli yang berusia 18 tahun ke atas.

“Kita kena kaji, rata-rata banyak bagi komen tentang definisi dan tribunal perlu cepat selesai (prosesnya).

“Sebagai kerajaan kita tidak mahu beri definisi buli daripada kajian antarabangsa sebab Malaysia berbilang kaum dan agama, jadi bila townhall ini ada padangan-pandangan.

“Undang-undang kita ada beberapa tindakan kita anggap kategori kesalahan boleh dilihat tindakan buli, maki hamun kadang buli sebab itu kita,” jelasnya.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru supaya rakyat memberikan pandangan mengenai tribunal  secara meyeluruh, menerusi dalam talian di portal Generasi Tanpa buli.

Sementara itu, Fadhlina ketika berucap berkata perbuatan buli tidak boleh ditangani hanya dengan memfokuskan hukuman semata-mata.

Sebaliknya menurut beliau, pendidikan khususnya berkaitan dengan antibuli perlu diberi keutamaan.

“Kita tidak boleh mengurus buli jika melihat dari sudut satu sahaja iaitu hukum sahaja. Sebab itu kita (Kementerian Pendidikan Malaysia) masih lagi mengambil pendirian mendidik itu masih lagi (jadi) keutamaan kita.

“Akhirnya yang memberi pemulihan adalah konteks pendidikan, Dibuang mana sekalipun (pembuli) , digantung (sekolah) pun mereka akan kembali ke institusi pendidikan,” jelasnya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast