KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin tertinggi utama Thailand dan Kemboja semalam berhubung perkembangan terkini di kawasan sempadan kedua-dua negara itu.
Perdana Menteri berkata, ia melibatkan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawat dari Kemboja, Hun Manet.
“Saya sudah berbincang dengan Perdana Menteri Thailand dan Kemboja semalam,” katanya ringkas ketika ditanya sama ada Malaysia akan membantu kedua negara itu susulan konflik pergolakan yang berlarutan.
Namun beliau tidak mengulas lanjut mengenai hasil perbincangan yang dijalankan bersama kedua-dua pemimpin tersebut.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan Kemboja mendakwa pihak tentera Thailand menghalang lebih 20 keluarga rakyatnya untuk kembali ke kediaman mereka di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian.
Dakwaan itu dikemukakan Hun Manet menerusi sepucuk surat rasmi kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam surat berkenaan, Hun Manet menuduh Thailand memperluaskan kawasan konflik dengan memasang kawat berduri, membuat sekatan serta menghalau rakyat Kemboja dari tanah yang diduduki mereka sejak sekian lama.
Beliau turut menggesa ASEAN mendesak Thailand menghentikan kekerasan dan tindakan pengusiran yang dianggap melanggar hak kemanusiaan.
Thailand pula menegaskan bahawa penduduk Kemboja berkenaan sebenarnya menceroboh dan tinggal secara haram di dalam wilayahnya.
Jurucakap tentera Thailand, Winthai Suvaree berkata, kumpulan penduduk itu juga terbabit dalam insiden keganasan sehari sebelumnya dengan sengaja mencetuskan kekacauan.
Ketegangan berkenaan adalah lanjutan daripada pertikaian lama mengenai sebuah kuil purba yang menjadi rebutan di sepanjang 800 kilometer sempadan dua negara jiran itu.
Pada Julai lalu, kedua-dua negara dilaporkan mencapai persetujuan gencatan senjata selepas pertempuran meletus hingga meragut kira-kira 43 nyawa. – MalaysiaGazette
















