NEW YORK – Perjanjian antara Washington dan Beijing bagi penjualan operasi TikTok di Amerika Syarikat akan menyaksikan penubuhan sebuah lembaga pengarah syarikat yang majoritinya rakyat Amerika, kata White House.
Setiausaha Akhbar White House Karoline Leavitt berkata, lembaga pengarah yang mengawal aplikasi itu di Amerika Syarikat akan terdiri daripada tujuh ahli dan enam daripada kerusi tersebut akan diisi rakyat Amerika.
Walaupun Presiden Donald Trump menyifatkan perkara itu sebagai perkembangan yang baik namun China tidak mengesahkan sebarang persetujuan antara kedua-dua pihak.
Media melaporkan, Larry Ellison, bilionair pengasas bersama syarikat teknologi Oracle, adalah sebahagian daripada kumpulan pelabur yang syarikat-syarikatnya berminat untuk membeli aplikasi tersebut.
Leavitt pada Sabtu seakan-akan mengesahkan penglibatan Oracle dalam pembelian TikTok.
“Data dan privasi akan dikendalikan oleh salah satu syarikat teknologi terkemuka Amerika, Oracle, dan algoritma juga akan dikawal oleh Amerika.
“Jadi semua butiran itu telah pun dipersetujui. Kini kita hanya menunggu perjanjian ini ditandatangani,” katanya kepada Fox News.
TikTok mempunyai kira-kira 175 juta pengguna di Amerika Syarikat, menjadikannya antara lima aplikasi media sosial teratas.
Menurut Leavitt, perjanjian itu boleh ditandatangani “dalam beberapa hari akan datang”.
Kenyataan Leavitt dibuat sehari selepas Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan perjanjian yang akan membolehkan TikTok terus beroperasi di Amerika Syarikat di tengah-tengah ancaman pengharaman.
Namun, platform itu terus dibelenggu kontroversi apabila penggubal undang-undang di bawah pentadbiran Joe Biden meluluskan undang-undang yang memaksa TikTok melepaskan pemilikan oleh syarikat internet China, ByteDance.
Demokrat dan Republikan sama-sama menyokong undang-undang tersebut kerana kebimbangan keselamatan bahawa Beijing berkemungkinan mendapat akses kepada data TikTok dan menyebarkan propaganda China melalui algoritma aplikasi itu.
Trump sendiri pernah mencadangkan pengharaman TikTok semasa penggal pertamanya sebagai presiden AS, dengan menandatangani dua perintah eksekutif pada Ogos 2020 yang bertujuan mengehadkan aplikasi tersebut. Namun, beliau membuat pusingan-U dengan berjanji untuk “menyelamatkan” aplikasi popular itu semasa kempen pemilihan semula tahun 2024.
China secara konsisten menafikan dakwaan penggubal undang-undang AS bahawa Beijing menekan aplikasi seperti TikTok untuk mengumpul maklumat peribadi bagi pihak kerajaan. -AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















