Goind (belakang, tengah) bersama wakil 13 syarikat penerima MDAG-AI pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak MDX 2025 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyasarkan sumbangan daripada ekonomi digital mampu me­­­­­ncecah 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang tahun 2030.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya melihat sasaran itu boleh dicapai dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan sasaran ekonomi digital untuk me­­­­n­yumbang 25.5 peratus daripada KDNK tahun ini.

“Apabila bercakap tentang membina negara AI, kita telah mengambil langkah nyata yang menunjukkan komitmen kita dalam membina ekosistem tersebut.

“Melangkah ke hadapan, kami pasti akan melihat lebih banyak pelaburan berkaitan ekonomi digital yang mana Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menguruskan soal pembinaan ekosistem diperlukan di sini,” katanya pada Sidang Kemuncak Malaysia Digital Xceleration (MDX) 2025 di sini baru-baru ini.

Acara selama tiga hari bermula semalam anjuran MDEC de­ngan kerjasama strategik Synapze Sdn. Bhd. itu mengenengahkan tema Catalysing Malaysia’s Trillion-Dollar Digital Future dalam mempamerkan kejayaan dalam teknologi baru muncul, transformasi digital serta inovasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil pula berkata, MDX Summit 2025 yang dijalankan seiring dengan SmartGov Malaysia Summit 2025 menonjolkan perjalanan kerajaan dalam merangkul transformasi digital.

Menurutnya, sidang kemuncak berkenaan menunjukkan kemampuan Malaysia dalam memanfaatkan rangkaian 5G seluruh negara dan ekosistem Digital Malaysia (MD) yang lebih luas merangkumi penyelesaian, bakat serta infrastruktur sekali gus menegaskan, komitmen negara terhadap keterangkuman, ketahanan dan kelestarian dalam ekonomi digital.

“MDX Summit 2025 bukan sekadar pameran teknologi, ia adalah platform untuk tindakan. Dengan menghubungkan inovator global, bakat tempatan, pelabur dan pembuat dasar, kita sedang membina kerjasama yang akan memacu ekonomi digital Malaysia ke hadapan.

“Bersama SmartGov Malaysia dan Smart City Expo Kuala Lumpur 2025, MDX mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital dipercayai di ASEAN bersedia untuk mencetuskan masa depan bernilai trilion dolar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast