KUALA LUMPUR – Beberapa dron yang tidak dikenali dilaporkan berlegar di ruang udara dan mengekori rombongan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam perjalanan menuju ke Gaza, semalam.
Peningkatan mendadak aktiviti udara itu menimbulkan kebimbangan serius terhadap keselamatan semua peserta misi kemanusiaan berkenaan.
“Pengesanan dron terbabit berlaku pada jam 9.09 malam, 21 September (GMT+2), bersamaan 3.09 pagi, 22 September waktu Malaysia.
“Pasukan kami kini memantau keadaan dengan teliti, mengutamakan keselamatan kru serta peserta, selain berkoordinasi dengan rakan antarabangsa bagi mendokumentasi dan menilai situasi ini,” katanya dalam satu hantaran di Instagram, hari ini.
Untuk rekod, Kapal GSF sebelum ini pernah diserang menggunakan dron di jeti perairan Tunisia pada 9 September lalu.
Bot tersebut merupakan Family Boat yang berlayar di bawah bendera Portugal bersama enam penumpang termasuk ahli Jawatankuasa Pemandu serta kru turut menjadi sasaran serangan, namun kesemua mereka dilaporkan selamat.
Keesokannya pada 10 September, sebuah lagi bot dinamakan The Alma yang membawa bendera British terbakar di dek atas selepas dipercayai diserang dron ketika berada di jeti perairan Tunisia.
GSF menegaskan akan meneruskan misi kemanusiaan itu walaupun berdepan pelbagai ancaman keselamatan. – MalaysiaGazette
















