KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas akan mengundang parti komponen kerajaan termasuk UMNO untuk menyertai Himpunan Mega Tolak URA (Akta Pembaharuan Semula Bandar) di sini pada 4 Oktober ini.
Ketua penerangannya, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata, ia kerana pemimpin UMNO dilihat selari dengan pihaknya dalam menyatakan bantahan terhadap akta yang dibawa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kita akan hantar jemputan rasmi kepada UMNO untuk turut bersama dalam Himpunan Tolak URA kerana dilihat pimpinan UMNO selari dengan isu ini, mereka bantah URA yang dibentangkan KPKT baru-baru ini.
“Sekarang UMNO paling kuat bantah URA melalui Datuk Johari Abdul Ghani sendiri yang diamanahkan mengetuai pasukan khas penambahbaikan RUU URA, ternyata jelas ia perlu ditolak dan dibincang sebelum dilanjutkan.
“Kita juga akan hantar kepada semua parti politik yang ada dalam negara kita ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Agung Pas, di sini hari ini.

Khairul Nadzir juga berkata, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming didakwa menggunakan instrumen kerajaan untuk tidak menjelaskan secara terperinci tentang RUU URA yang menjadi persoalan besar kepada rakyat.
“Kor Ming menggunakan media rasmi KPKT, dana dan jentera kerajaan nak cerita apa naratif mereka nak bawa tetapi ia berbangkit dengan kuasa-kuasa negeri tak dijelaskan.
“Saya rasa ini bukan RUU URA tapi ini RUU Nga,” sindirnya.
Selain itu, Khairul Nadzir juga berkata, Pemuda Pas akan membentangkan resolusi asas penolakan dan bantahan terhadap RUU URA sekiranya dijemput menyertai konvensyen Melayu bandar.
“Kita ada ramai jurucakap dan pakar yang kena dengan isu kota bawa ini dan macam mana konvensyen dibuat UMNO kita telah nyatakan pendirian kita sokong.
“Kita sedia bersama dan menanti jika ada jemputan untuk kita sertai konvensyen Melayu bandar untuk bincang secara ilmiah,” katanya.
Katanya lagi, penganjuran Himpunan Mega Tolak URA perlu dilakukan kerana Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dilihat sangat tergesa-gesa dalam isu ini.
“Himpunan itu penting, beri tekanan bila rakyat turun dengan konvensyen dengan gabungan himpunan penting sebagai satu isyarat penolakan, yang penting RUU URA ini ditolak.
“Terima kasih UMNO beri tekanan kepada KPKT dan menterinya dalam hal ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















