Wan Rosdy merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Pekan Bandar Diraja hari ini.

KUANTAN – Penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Pahang juga mungkin merasa ‘sagu hati’ dari kerajaan negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pemberian sagu hati itu akan dipertimbangkan sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah menabur bakti di negeri ini.

Bagaimanapun peruntukan tersebut masih dikaji dan masih perbincangan serta kajian bagi menentukan jumlah penjawat awam dan nilai kewangan terbabit dalam pemberian tersebut.

“Saya memikirkan hendak beri kepada semua penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Pahang tetapi kerajaan negeri tidak mampu untuk beri kepada semua.

“Kita belum ada keputusan muktamad tetapi kita akan fikir mungkin akan bagi secara token sama ada RM200 atau RM300 dan ia bergantung kepada simulasi kewangan yang akan dikemukakan kepada saya.

“Kena bergantung kepada kedudukan kewangan negeri yang ketika ini sudah mencatat kutipan hasil lebih RM850 juta,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dataran Pekan Bandar Diraja di sini hari ini.

Tambah Wan Rosdy, pemberian sagu hati tersebut melibatkan golongan yang berpendapatan di bawah RM3,000 hingga RM4,000.

Terdahulu kerajaan negeri pernah menyalurkan sumbangan kepada kepada petugas barisan hadapan melibatkan doktor dan petugas Kementerian Kesihatan semasa pandemik Covid-19 lalu. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast