MELAKA – Persembahan percuma penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, flash mob lebih 3,000 penari zapin Malaysia, Indonesia, Brunei dan Thailand serta formasi 1,000 dron antara acara wajib ditonton di Melaka Sabtu ini.
Kesemua acara bersejarah itu bakal menggegarkan pesisiran Selat Melaka di Encore Melaka yang menjadi lokasi utama sambutan Hari Pelancongan Sedunia (WTD) 2025 dan peluncuran Tahun Melawat Malaysia (VMY) 2026 bermula jam 6 petang.

Perasmian dijangka disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melancarkan Tahun Melawat Malaysia (VM2026) di Encore Melaka.
Antara program percuma lain di lokasi sama ialah Pameran Fotografi WTD 2025 (23- 30 September), Pelayaran Bersejarah Wira Laut Dunia Enrique de Malaca (Panglima Awang) iaitu manusia pertama mengelilingi dunia (20- 30 Sept) dan Karnival WTD2025 (27- 29 Sept).

Selain itu, Pesta Konda Kondi Melaka (27-28 Sept) yang mengenakan yuran penyertaan RM100 dan untuk menangi hadiah RM3,000.
Kemuncak pelancaran VM2026 secara percuma akan bermula pada jam 6 petang menampilkan persembahan Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Roger Kajol di pentas yang dibina di atas laut Selat Melaka.

Persembahan berprestij ini bakal disaksikan menteri pelancongan dan delegasi dari 159 buah negara, sekali gus melakarkan satu lagi detik bersejarah buat negara.

Program percuma sempena WTD yang turut bakal mewarnai Melaka di lokasi lain adalah Festival Layang-Layang Antarabangsa & Karnival Usahawan (26- 28 September, Kota Laksamana), Visit Malaysia Travel Meet 2025 (27- 28 September, MITC Ayer Keroh). – MalaysiaGazette
















