KUANTAN – Pemuda UMNO Negeri Pahang menolak sekeras-kerasnya tuduhan dangkal yang mendakwa Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh tunduk kepada naratif Pas dalam isu Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB).
Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata demikian membidas kenyataan Setiausaha Publisiti DAPSY Kebangsaan, Ho Chi Yang menyifatkan Dr Akmal sebagai talam dua muka kerana tindakan dan kenyataan beliau berhubung RUU tersebut bertentangan.
”Nak cakap biar jelas, Pemuda UMNO berdiri atas kaki sendiri. Kami ibarat sebuah parti dalam parti, ada pendirian, ada prinsip, ada maruah.
”Apa yang kami bawa bukan ikut cakap Pas, bukan ikut telunjuk sesiapa tapi suara anak muda dan keresahan rakyat. Jangan samakan Pemuda UMNO dengan DAPSY yang hidupnya sekadar ‘kena cucuk hidung’ dan ikut saja arahan bos parti tanpa daya fikir sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Malahan tegas Mohd Kamil, jika dilihat Pemuda UMNO bertegur dengan Pemuda Pas dalam isu rakyat, itu namanya keterbukaan dan keberanian politik.
Beliau mengingatkan agar DAPSY supaya tidak menyempitkan minda dengan tuduhan kononnya ada pakatan tersembunyi sebaliknya berpolitik matang dan bukan hanya menjadi pak turut serta berani duduk semeja demi bela rakyat.
”Kalau itu pun Ho Chi Yang tak mampu faham, lebih baik duduk diam. Hakikatnya, Ho Chi Yang jangan perasan hebat sangat.
”Dalam sidang DUN pun orang tak nampak sumbangan dia. Ada pun tak menambah, tiada pun tak rugi. Tiba-tiba keluar kenyataan bising macam anak anjing dalam sangkar tapi isinya kosong,” katanya.
Dakwa Mohd Kamil lagi, Ho Chi Yang gagal mempamerkan kepimpinan berwibawa hanya politik barua yang sekadar cari publisiti murahan.
Beliau berkata, Pemuda UMNO tetap konsisten bila ada dasar yang menekan rakyat, pihaknya akan melawan bertubi-tubi.
”Kalau baik, kita sokong. Kita tak tunduk pada sesiapa, hanya tunduk kepada kepentingan rakyat. Itu prinsip kami, itu maruah kami,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN :
















