KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal memohon maaf kepada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan kerana memfitnahnya semasa berkempen untuk Perikatan Nasional (PN) bagi PRU 2022 dan PRN 2023.
Wakil rakyat Pas itu memuat naik permohonan maaf tanpa syarat dan nyata kerana secara salah menuduh wakil rakyat DAP itu bukan seorang muslim yang jujur dan taat beragama serta menyokong ideologi komunis.
“Saya mengakui bahawa kenyataan-kenyataan tersebut adalah secara penuhnya tidak benar, tidak berasas, dan secara keseluruhannya tidak mempunyai sebarang merit.
“Saya amat kesal dalam membuat atau menyebabkan penerbitan kenyataan-kenyataan tersebut serta secara penuhnya menyedari kecederaan, distres dan kerosakan reputasi kepada Syahredzan.
“Saya dengan ini menarik balik sepenuhnya kenyataan-kenyataan tersebut tanpa syarat, dan memberikan aku janji tanpa bersyarat dan secara nyata untuk tidak membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan-kenyataan lanjut yang bersifat fitnah atau berkemungkinan memfitnah Syahredzan,” katanya.
Shafie juga mengambil tanggungjawab penuh terhadap tindakannya dan secara komited memastikan akan bertindak lebih berhati-hati, hormat, dan berintegriti pada masa depan.
Sementara itu, Syahredzan berkata ia susulan penghakiman persetujuan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di mana dipersetujui Shafie akan memohon maaf dan tidak mengulangi dakwaannya.
Naib Pengerusi DAP itu memaklumkan, permohonan maaf Shafie turut diterbitkan dalam dua akhbar dan platform media sosial cawangan Pas serta Perikatan Nasional (PN) di Bangi.
Syahredzan sebelm itu memfailkan saman berkenaan pada Ogos 2023 – MalaysiaGazette















