Wakil penduduk Kampung Sungai Baru, Rafidah Ibrahim (tengah) bercakap kepada wartawan ketika sidang media pada sesi penyerahan satu memorandum kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr. Dr. Maimunah Mohd Sharif di Menara DBKL 1, Kuala Lumpur. Foto Hari Anggara, 26 SEPTEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Sungai Baru mempersoalkan kewibawaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas seorang pegawai berjawatan J9 didakwa meluluskan pemasangan penghadang (hoarding) oleh kontraktor pemaju di kawasan tersebut.

Pelakon dan aktivis, Rafidah Ibrahim mendakwa, tindakan itu jelas menyalahi prosedur kerana kebenaran kerja sebegitu sepatutnya hanya boleh diluluskan oleh pengarah atau timbalan pengarah DBKL bukan pegawai berpangkat J9.

“Pada 24 September lalu, kontraktor pemaju sudah datang untuk memasang hoarding walaupun tiada sebarang kelulusan tetapi pada 25 September, mereka kembali semula dengan membawa surat kelulusan yang ditandatangani pegawai J9.

“Bagaimana seorang pegawai berpangkat J9 boleh meluluskan kerja sebegini? Undang-undang apa yang sedang dipakai? Kalau boleh berlaku di Kampung Sungai Baru, ia juga boleh berlaku di seluruh Malaysia,” katanya kepada media hari ini.

Menurut Rafidah, tindakan tersebut secara tidak langsung mencemarkan integriti pihak berkuasa, justeru DBKL dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa segera menyiasat bagaimana kelulusan itu boleh dikeluarkan dalam tempoh kurang daripada 24 jam.

“Kalau tidak mahu nama DBKL busuk, siasat siapa yang memberi kebenaran ini. Jangan kerana segelintir yang tidak bertanggungjawab, keseluruhan pihak berkuasa dipandang hina,” dakwanya.

Beliau turut mempersoalkan layanan berbeza terhadap penduduk Kampung Sungai Baru berbanding Jinjang Selatan Tambahan walaupun kedua-dua kawasan terlibat dengan Order 89.

“Di Jinjang Selatan, perintah itu boleh ditangguhkan tetapi di Kampung Sungai Baru, perobohan tetap dilaksanakan walaupun kes penangguhan kami hanya akan didengar pada 3 Oktober nanti,” ujarnya.

Perobohan yang dijalankan itu dakwanya bercanggah dengan surat mahkamah yang hanya menyebut tentang pengosongan, bukan perobohan, dakwanya.

“Tindakan ini sudah melampau. Jangan memalukan pihak berkuasa dengan salah guna kuasa kerana rakyat sedang memerhati dan tidak akan lupa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast