MELAKA – Bayi lelaki berusia seminggu dan masih bertali pusat yang ditinggalkan dalam kotak di pondok bas hadapan Surau Batu 5, Alai, di sini malam tadi disahkan mengidap sindrom down.
Pengarah Jabatan Kebajikan Melaka, Halyjah Muhamad berkata, perkara itu disahkan doktor Hospital Melaka selepas melakukan pemeriksaan terhadap bayi seberat berat 2.7 kilogram itu pagi tadi.

“Ketika ditemukan jemaah surau jam 9.20 malam tadi, bayi masih dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan.
“Tiada sebarang nota ditinggalkan pada bayi yang dalam keadaan berselimut dengan kain lampin dalam kotak,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar mengesahkan menerima laporan polis berkaitan kes berkenaan.
“Tempat kejadian telah dilawati oleh pasukan D11 (Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka namun tiada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
“Selain itu, tiada saksi bebas yang dikesan melihat kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat,” katanya.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
















