KUALA LUMPUR – Setiap keputusan pemberian kewarganegaraan dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Perkara 19(1), Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, proses naturalisasi sangat teliti dan berlapis yang mana dokumen lengkap disemak, temu bual dijalankan, biometrik diambil, serta verifikasi menyeluruh dibuat.
Malah menurut beliau, syarat utama naturalisasi ialah keberadaan pemohon di Malaysia, bukan sekadar memohon dari luar negara.
“Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab memastikan urusan kewarganegaraan berjalan sah, telus dan berlandaskan Perlembagaan dan kami kekal teguh melaksanakan amanah ini dengan penuh tanggungjawab,” katanya dalam kenyataan bagi menjawab isu kewarganegaraan susulan keputusan yang dibuat Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain naturalisasi Harimau Malaya.
Tambah Saifuddin, semua keputusan dibuat mengikut tertib dan peraturan undang-undang.
Semalam, FIFA dalam kenyataan memaklumkan mengenakan sekatan ke atas FAM bersama tujuh pemain kebangsaan selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Katanya, FAM didapati mengemukakan dokumen palsu dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.
Tujuh pemain itu ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Siapa entiti luar pengaruhi FIFA, who was in New York? Soal TMJ
















