KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bersedia menyalurkan bantuan kebajikan termasuk kewangan, serta aspek sokongan kaunseling kepada ahli keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, perhatian dan sokongan moral kepada ahli keluarga para sukarelawan itu menjadi keutamaan pihaknya.
“Usaha murni mereka membawa nama baik negara dan kita mendoakan keselamatan serta kelancaran misi mereka,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, berdasarkan hantaran di laman sosial Facebook GSF, misi tersebut kini memasuki saat-saat genting apabila berbaki 463 batu nautika lagi sebelum kapal-kapal pelayaran memasuki perairan Gaza, Palestin.
Menurut GSF, konvoi kemanusiaan itu dijangka tiba di Gaza dalam tempoh antara empat hingga tujuh hari lagi, dan akan memasuki zon berisiko tinggi dalam masa dua hari lagi, sekali gus memerlukan tahap kewaspadaan dan solidari global yang amat tinggi.
Seramai 34 rakyat Malaysia merupakan antara lebih 1,000 sukarelawan yang menaiki hampir 70 bot dalam pelayaran GSF merentasi Laut Mediterranean itu yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dengan satu matlamat iaitu memecah kepungan terhadap Gaza.
GSF menghimpunkan gabungan antarabangsa dari Eropah; Asia; Afrika Selatan; Amerika Latin dan Asia Barat dengan semua delegasi menekankan prinsip tanpa keganasan serta peranan kapal sebagai simbol solidariti masyarakat dunia terhadap krisis di Gaza. – MalaysiaGazette
















